Latih diri menjelang Ramadan

Tingkatkan ibadah pada Syaaban sebagai latihan dan persediaan bagi menempuh bulan puasa

LUANGKAN masa untuk memperbanyakkan ibadah pada bulan Syaaban. Foto Canva
LUANGKAN masa untuk memperbanyakkan ibadah pada bulan Syaaban. Foto Canva
A
A
A

TIDAK lama lagi umat Islam akan bertemu dengan bulan yang penuh dengan keberkatan iaitu Ramadan.

Bulan kesembilan dalam kalendar Hijrah itu mewajibkan kita semua berpuasa selama sebulan penuh seperti yang terkandung dalam Rukun Islam kedua.

“Kita kini berada dalam bulan Syaaban. Ini bermakna bulan Ramadan akan menjelang tiba lebih kurang sebulan dari sekarang.

“Syaaban bukan sekadar masa peralihan antara bulan Rejab dan Ramadan, tetapi ia juga waktu terbaik buat kita untuk membuat persediaan jasmani dan rohani bagi menghidupkan bulan Ramadan al-Mubarak yang akan tiba,” ujar khatib dalam permulaan khutbah Jumaatnya minggu lalu.

Khutbah Jumaat bertajuk Syaaban persediaan menyambut Ramadan itu diterbitkan Majlis Islam Sarawak (MIS) dan disiarkan dalam web rasmi jabatan berkenaan.

Menurut MIS, ALLAH SWT mengingatkan para hamba-NYA agar bersegera dan tidak berlengah dalam melakukan amal ibadah seperti direkodkan dalam ayat ke-18 surah al-Hasyr: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada ALLAH, dan hendaklah setiap diri melihat apa yang telah dia sediakan untuk hari esok (hari akhirat).”

PARA ulama mempersiapkan diri dengan memperbanyakkan ibadah seperti membaca al-Quran, berzikir, puasa dan sebagainya sebelum memasuki Ramadan.
PARA ulama mempersiapkan diri dengan memperbanyakkan ibadah seperti membaca al-Quran, berzikir, puasa dan sebagainya sebelum memasuki Ramadan.

Tambahnya, Rasulullah SAW juga sentiasa mendorong kita agar mengambil kesempatan daripada peluang yang ada sekarang, tanpa berlengah-lengah dan tidak menunggu hari esok untuk melakukan amal ibadah serta kebaikan.

Artikel Berkaitan:

Rasulullah SAW bersabda: “Gunakanlah dengan sebaik-baiknya lima perkara sebelum datang lima (yang lain): Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum datang sakitmu, kayamu sebelum fakirmu, waktu lapangmu sebelum datang waktu sibukmu dan hidupmu sebelum datang matimu.” (Hadis Riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi)

“Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya Lato’if al-Maarif menceritakan bahawa sebahagian ulama salaf (generasi awal Islam) berkata bahawa mereka berdoa kepada ALLAH, enam bulan lebih awal agar dipertemukan dengan Ramadan.

“Kemudian enam bulan selepasnya (Ramadan) pula mereka sibuk berdoa agar diterima ibadah mereka semasa Ramadan,” jelasnya.

Menurut MIS, antara langkah baik yang boleh dipertimbangkan bagi memanfaatkan bulan Syaaban sebagai persediaan menyambut Ramadan:

1 – Manfaatkan bulan Syaaban ini untuk mempertingkatkan amalan seperti membaca al-Quran, berpuasa sunat, berzikir, memperbanyakkan solat sunat dan bersedekah.

Semua amalan tadi merupakan antara amalan yang digalakkan untuk kita memperbanyakkan untuk melakukannya pada bulan Ramadan nanti.

“Para ulama silam menganggap bulan Syaaban sebagai bulan persiapan ahli al-Quran. Mereka akan mula memperbanyakkan bacaan al-Quran di bulan Syaaban, supaya terbiasa dan lebih mudah diamalkan dan dipertingkatkan pada bulan Ramadan.

“Begitu juga dengan anjuran berpuasa sunat pada bulan Syaaban adalah sebagai latihan agar kita tidak meresa lemah ketika berdepan dengan cabaran rohani dan jasmani pada bulan Ramadan nanti,” hurainya.

Ujarnya, ia juga merupakan satu cara kita melatih diri supaya lebih bersedia mencurahkan segenap usaha dan tumpuan beramal di bulan Ramadan nanti, agar kemanisannya lebih terasa di dalam jiwa.

IBU BAPA juga memainkan peranan untuk mengajak anak-anak mempertingkan ibadah pada bulan Syaaban sebelum Ramadan tiba. Foto Canva
IBU BAPA juga memainkan peranan untuk mengajak anak-anak mempertingkan ibadah pada bulan Syaaban sebelum Ramadan tiba. Foto Canva

“Ini sesuai dengan anjuran Rasulullah SAW supaya bulan Syaaban tidak kita lalaikan,” katanya.

2 – Cari peluang untuk beramal pada waktu-waktu yang dilupakan manusia.

Ujar khatib, sebagai contoh antaranya sepertiga malam yang terakhir, antara solat maghrib dan Isyak serta juga di bulan Syaaban ini.

“Inilah merupakan antara sebab mengapa Qiamullail iaitu beribadah di tengah malam ketika manusia lena dalam tidurnya, amat disukai oleh ALLAH SWT dan rasul-NYA,” katanya.

Ibnu Rajab turut menjelaskan tiga sebab seorang Muslim digalakkan untuk beramal ketika manusia kurang peka:

1 – Amalan itu lebih tertutup daripada penglihatan manusia, membuktikan keikhlasan orang yang beramal.

2 – Lebih mencabar dan menguji keazaman diri, lalu menjanjikan ganjaran yang lebih besar.

3 – Mengelakkan dan melindungi manusia daripada kemurkaan Tuhan.

Pesan MIS lagi, umat Islam sepatutnya menggunakan nikmat usia yang dimiliki sekarang ini dengan sebaik-baiknya.

“Rebutlah setiap peluang untuk menambah bekalan akhirat. Usah berlengah dalam melakukan kebaikan. Bangkitlah daripada kelalaian dan kealpaan. Carilah rahmat dan keredaan Tuhan,” nasihatnya.

Sebelum mengakhiri khutbah, khatib mengingatkan agar bersama-sama mengambil pengajaran dan penghayatan daripada khutbah ini, antaranya ialah:

AMALAN yang dilakukan ketika sepertiga malam akan lebih khusyuk dan ikhlas. Foto Canva
AMALAN yang dilakukan ketika sepertiga malam akan lebih khusyuk dan ikhlas. Foto Canva

1 – Syaaban adalah waktu terbaik memulakan usaha positif dalam amal ibadah secara konsisten sebagai persediaan menghidupkan bulan Ramadan yang menjelang tiba.

2 – Umat Islam hendaklah sentiasa berusaha melaklukan amal ibadah termasuklah pada waktu-waktu kebiasaannya dilupakan manusia seperti qiamullail dan memperbanyakkan ibadah di bulan Syaaban.

3 – Ibadah yang dilaksanakan dengan ikhlas dan sabar akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh ALLAH SWT.

Ringkasan AI

  • Bulan Ramadan adalah bulan keberkatan dan merupakan rukun Islam kedua yang mewajibkan puasa sebulan penuh Syaaban dianggap sebagai masa persediaan jasmani dan rohani untuk menyambut Ramadan Rasulullah SAW mendorong umat Islam untuk tidak berlengah dalam melakukan amal ibadah Ulama salaf berdoa enam bulan sebelum Ramadan agar dipertemukan dengan bulan tersebut dan berdoa lagi enam bulan selepasnya agar ibadah diterima Langkah baik persiapan Ramadan termasuk memperbanyakkan bacaan al-Quran, berpuasa sunat, berzikir, solat sunat, dan bersedekah di bulan Syaaban

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!