Potensi besar wakaf pendidikan
Inisiatif seperti myWaqafPTPTN rancakkan lagi ekosistem wakaf dalam negara

PENDIDIKAN bukan sekadar memerlukan ilmu dan tenaga pengajar berkualiti, malah ia turut bergantung kepada sumber kewangan yang kukuh bagi memastikan kelangsungannya dalam jangka masa panjang.
Ketika kos pengurusan institusi pendidikan semakin meningkat sekarang, wakaf pendidikan dilihat berpotensi menjadi antara instrumen kewangan Islam yang mampu membantu memperkukuh ekosistem pendidikan negara.
Malah, pendekatan itu bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan institusi pendidikan kepada peruntukan kerajaan, tetapi turut membuka ruang kepada pembiayaan lebih mampan menerusi pengembangan aset wakaf.
Timbalan Dekan (Prasiswazah) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Zamro Muda menjelaskan, wakaf pendidikan merujuk kepada penyerahan harta atau aset oleh pewakaf untuk dimanfaatkan bagi tujuan pendidikan, sama ada dalam bentuk harta alih seperti wang tunai dan kenderaan mahupun harta tidak alih seperti tanah serta bangunan.
Menurutnya, manfaat daripada harta yang diwakafkan boleh disalurkan secara berterusan bagi membiayai pelbagai keperluan pendidikan termasuk pemberian biasiswa, pembinaan prasarana, penyelidikan dan kebajikan pelajar.
"Apabila aset wakaf diurus dan dikembangkan dengan baik, hasil yang diperoleh boleh digunakan untuk menyokong institusi pendidikan tanpa perlu menghabiskan aset pokok yang diwakafkan.
"Ini menjadikan wakaf pendidikan berbeza daripada sumbangan lain atau sedekah biasa yang lazimnya digunakan dan dihabiskan untuk keperluan tertentu dalam tempoh lebih singkat," jelasnya kepada Sinar Islam Plus.
Beliau menjelaskan, keistimewaan wakaf terletak pada prinsip mengekalkan aset asal, manakala manfaat atau hasil yang dijana disalurkan kepada penerima mengikut tujuan pewakaf.
Justeru, dana wakaf yang diurus secara profesional berpotensi menjadi sumber pembiayaan berpanjangan, sekali gus membantu institusi pendidikan merancang pembangunan secara lebih tersusun.
Kurangkan kebergantungan dana kerajaan
Mengulas potensi wakaf pendidikan sebagai sumber pembiayaan alternatif, beliau berpandangan instrumen itu mempunyai ruang yang cukup besar untuk dikembangkan, terutama ketika institusi pendidikan tinggi (IPT) berdepan peningkatan kos operasi dan pembangunan prasarana.

Malah, beberapa institusi pendidikan terkemuka dunia seperti Universiti Al-Azhar, Universiti Oxford dan Universiti Harvard juga dikaitkan dengan tradisi sokongan kewangan melalui wakaf, dana endowment serta sumbangan alumni.
Menurutnya, pendekatan sama boleh diperkasakan di Malaysia menerusi kerjasama antara institusi pendidikan, badan korporat, alumni dan masyarakat.
"Melalui dana wakaf, institusi pendidikan boleh mempunyai sumber pendapatan yang berterusan walaupun berdepan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
"Sebahagian kos pembinaan bangunan, penyediaan fasiliti dan pembangunan akademik juga boleh ditampung melalui dana wakaf, sekali gus mengurangkan beban peruntukan kerajaan," hurainya.
Beliau memberikan contoh UKM yang menerima dana wakaf berjumlah RM5 juta daripada Kerajaan Negeri Sarawak.
Perlu inovasi dan pengurusan profesional
Bagaimanapun menurut Dr Mohd Zamro, potensi besar wakaf pendidikan tidak akan dapat direalisasikan sekiranya pengurusannya masih terikat dengan pendekatan tradisional.
Beliau berpandangan pengurusan wakaf perlu beralih daripada model kebajikan semata-mata kepada pendekatan kewangan sosial Islam yang lebih moden dengan memanfaatkan pelaburan, teknologi kewangan dan tadbir urus korporat.
“Antara pendekatan yang boleh diteroka termasuk wakaf korporat, pembangunan amanah hartanah Islam serta pewakafan harta intelek seperti hak cipta dan hasil penyelidikan akademik.
“Malah konsep wakaf muaqqat atau wakaf sementara juga boleh diberikan perhatian bagi membolehkan aset yang tidak digunakan dimanfaatkan untuk tempoh tertentu,” jelasnya.
Sebagai contoh, rumah yang terbiar boleh diwakafkan untuk dimanfaatkan sebagai kemudahan pendidikan dalam tempoh tertentu sebelum dikembalikan mengikut persetujuan asal.
Dalam masa sama, teknologi digital seperti platform pendanaan ramai (crowdfunding) boleh dimanfaatkan untuk mengumpul dana bagi projek pendidikan tertentu.
Beliau turut mencadangkan supaya insentif potongan cukai kepada penyumbang wakaf tunai dan badan korporat diperkasakan bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan.
Ekosistem wakaf perlu diperkukuh
Dalam usaha memastikan kelestarian wakaf pendidikan, beliau turut menekankan kepentingan membudayakan amalan berwakaf dalam kalangan masyarakat, komuniti akademik dan alumni institusi pendidikan.
Menurutnya, perkembangan penubuhan dana wakaf oleh beberapa IPT tempatan seperti UKM, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta pihak lain seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui inisiatif myWaqafPTPTN, merupakan perkembangan positif yang wajar diperluaskan.

Ujarnya, dana berkenaan boleh disesuaikan dengan keperluan institusi masing-masing termasuk membiayai kemudahan pembelajaran, peralatan teknikal serta prasarana pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).
Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa pengembangan dana wakaf tidak boleh mengabaikan prinsip syariah, khususnya kewajipan mengekalkan aset pokok serta memastikan hasilnya digunakan selaras dengan tujuan pewakaf.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya satu model atau garis panduan khusus wakaf pendidikan diwujudkan bagi membantu institusi melaksanakan pengurusan wakaf secara lebih seragam.
"Seperti zakat dan pensijilan halal yang mempunyai panduan serta kerangka pelaksanaan tersendiri, wakaf pendidikan juga memerlukan garis panduan yang boleh diguna pakai oleh institusi pendidikan tanpa mengetepikan struktur asas dan kepatuhan syariah.
"Jika ekosistem ini dibangunkan dengan baik, masyarakat bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ilmu, malah mereka sendiri akan menikmati manfaat daripada hasil wakaf yang diwujudkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

