Jangan terpedaya pakej umrah tidak masuk akal

HADIR sendiri ke pejabat agensi pelancongan akan membuatkan pelanggan lebih yakin dengan pakej yang ditawarkan. Foto Canva
HADIR sendiri ke pejabat agensi pelancongan akan membuatkan pelanggan lebih yakin dengan pakej yang ditawarkan. Foto Canva
A
A
A

KES penipuan umrah yang sering berlaku kebelakangan ini membuka mata banyak pihak dan menunjukkan betapa mudahnya orang ramai terperangkap dengan tawaran yang kelihatannya menarik di atas kertas.

Namun ia sebenarnya rapuh dari sudut logik dan realiti sebenar industri berkenaan.

Pengurus Strategi Perniagaan, Mubasyyir Travel & Tours, Ustaz Mohd Ashraf Hafiz menjelaskan, umat Islam terutamanya bagi mereka yang pertama kali ingin ke Tanah Suci perlu lebih berhati-hati dengan pakej yang ditawarkan di pasaran.

“Banyak pakej umrah yang murah ditawarkan di pasaran sekarang. Dalam masa yang sama, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab seperti scammers akan mengambil kesempatan ini.

USTAZ MOHD ASHRAF
USTAZ MOHD ASHRAF

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan beberapa kali dan berhati-hati dengan pakej-pakej tersebut, dibimbangi ia pakej tipu daripada ejen yang tidak sah,” jelasnya ketika ditemui Sinar Islam Plus di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini.

Pakej premium tapi harga murah

Menurutnya, antara punca utama orang ramai ditipu adalah kerana mereka gagal untuk menilai tawaran atau pakej umrah tersebut secara rasional atau logik akal.

Artikel Berkaitan:

“Ada pakej umrah yang menawarkan harga yang terlalu rendah, tetapi dijanjikan penginapan dan penerbangan yang premium.

“Sebagai contoh, harga pakej umrah sekitar RM4,000 tetapi menawarkan hotel yang sangat hampir dengan Masjidil Haram seperti puluhan meter sahaja.

“Hakikatnya jika diteliti pakej-pakej umrah di pasaran sekarang, kos untuk penginapan dan penerbangan premium ini hampir mustahil dapat direalisasikan dengan harga sebegitu murah,” jelasnya.

Situasi ini lebih mengelirukan apabila ada sesetengah pihak menawarkan harga ekonomi pada musim puncak seperti musim cuti sekolah dan pada bulan Ramadan serta Syawal, ujarnya.

“Umum mengetahui kos umrah ketika musim puncak jauh lebih tinggi berbanding musim lain.

BERHATI-HATI dengan promosi tidak masuk akal yang ditawarkan di media sosial dan semaklah terlebih dahulu. Foto Canva
BERHATI-HATI dengan promosi tidak masuk akal yang ditawarkan di media sosial dan semaklah terlebih dahulu. Foto Canva

“Perbezaan antara harga musim bukan puncak dan musim puncak seharusnya menjadi isyarat awal kepada bakal jemaah untuk lebih berhati-hati,” katanya.

Bagaimanapun menurut Ustaz Mohd Ashraf, pengaruh promosi di media sosial sering mengaburi pertimbangan akal manusia.

Dalam menghadapi isu ini, beliau yang sudah berkecimpung dalam bidang ini selama 10 tahun menasihatkan orang ramai agar menimbang tara antara kos yang dibayar dan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Harga yang terlalu murah wajar diteliti dengan lebih mendalam, bukannya terus percaya dan menerimanya bulat-bulat,” katanya.

Semak agensi, hadir ke pejabat

Beliau turut berpesan agar bakal jemaah memastikan agensi pengendali berdaftar secara sah dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selain mempunyai pejabat fizikal.

“Kehadiran ke pejabat membolehkan bakal jemaah mendapatkan penerangan, membuat semakan serta mengadakan pertemuan secara bersemuka selain hadir untuk mempelajari ilmu daripada kursus umrah yang dianjurkan,” jelasnya.

Ujarnya, semakan terperinci juga perlu dibuat terhadap setiap komponen pakej termasuk jenis penerbangan, nama dan lokasi hotel, kemudahan makanan, pengurusan visa dan pelbagai lagi fasiliti serta kemudahan yang dijanjikan.

ANTARA laporan Sinar Harian berkaitan penipuan umrah di pasaran.
ANTARA laporan Sinar Harian berkaitan penipuan umrah di pasaran.

Tanggungjawab besar bawa jemaah

Mengulas mengenai kes kehilangan jemaah ketika dalam perjalanan seperti yang berlaku baru-baru ini, Ustaz Mohd Ashraf menjelaskan, ia memberi pengajaran besar kepada pihak agensi pelancongan untuk mengambil sepenuhnya tanggungjawab terhadap jemaah yang dibawa.

“Tanggungjawab membawa jemaah ke Tanah Suci bukanlah perkara kecil, bahkan ia memerlukan kemahiran pengurusan yang tinggi, kerjasama yang erat dengan pihak berkuasa di luar negara serta petugas berpengalaman di lokasi bagi menangani sebarang kecemasan.

“Saya secara peribadi mengucapkan tahniah kepada agensi pelancongan dalam kes yang tular baru-baru ini kerana berjaya menguruskan dengan cekap dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Langkah pengurusan yang telus serta kemas kini berkala kepada jemaah dan kerjasama dengan pihak konsulat serta Wisma Putra antara faktor penting dalam memastikan kebajikan jemaah terpelihara,” jelasnya.

Kejayaan menguruskan krisis dengan baik bukan sahaja menjaga jemaah, malah turut melindungi nama baik industri umrah secara keseluruhannya.

JANGAN musnahkan impian ke Tanah Suci dan semaklah dengan teliti pakej yang ditawarkan di pasaran. Foto Canva
JANGAN musnahkan impian ke Tanah Suci dan semaklah dengan teliti pakej yang ditawarkan di pasaran. Foto Canva

Tip elak penipuan pakej umrah

1 - Semak agensi dan lesen:

- Pastikan agensi ada lesen sah dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

- Periksa rekod operasi dan pastikan ada pejabat fizikal yang boleh dikunjungi.

- Semak syarikat yang disenarai hitam di laman web MOTAC.

2 - Semak pakej dan harga:

- Jangan mudah terpedaya dengan harga terlalu murah.

- Agensi sah akan memberikan penerangan jelas mengenai aturcara perjalanan, hotel, penerbangan dan bimbingan ibadah.

- Periksa terma dan syarat caj pembatalan yang jelas dalam perjanjian.

3 - Semak testimoni

- Bukan tangkap layar semata-mata dan nilaikan testimoni secara kritikal serta pastikan ada bukti kukuh.

4 - Tanya dan sahkan

- Agensi berpengalaman akan bersedia menjawab semua soalan dengan jujur.

Ringkasan AI

  • KES penipuan umrah kerap berlaku dengan tawaran yang kelihatan menarik tetapi logik dan realiti industri berkenaan rapuh
  • Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan pakej umrah murah yang ditawarkan dan membuat semakan beberapa kali
  • Antara punca utama orang ramai ditipu kerana gagal menilai secara rasional tawaran pakej umrah yang menawarkan harga rendah tetapi perkhidmatan premium
  • Penting untuk memastikan agensi pengendali berdaftar secara sah dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta memiliki pejabat fizikal
  • Mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas jemaah dan memastikan kebajikan terpelihara merupakan aspek penting dalam pengurusan umrah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!