Harta wakaf kekal untuk kebajikan

JHEAIK berpesan agar budayakan berwakaf, peroleh ganjaran berterusan walau sudah meninggal dunia

UNIVERSITI Al-Azhar di Kaherah, Mesir merupakan antara universiti yang dibangunkan menggunakan dana wakaf.
UNIVERSITI Al-Azhar di Kaherah, Mesir merupakan antara universiti yang dibangunkan menggunakan dana wakaf.
A
A
A

WAKAF bermaksud menyerahkan hak milik harta yang kekal fizikalnya seperti tanah, bangunan atau wang tunai untuk dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan atau keagamaan semata-mata kerana ALLAH SWT, tanpa boleh dijual, diwarisi, dihibahi atau diwasiatkan.

ALLAH SWT berfirman: “Kamu tidak akan memperoleh kebajikan sehingga kamu menginfakkan sebahagian daripada apa yang kamu cintai dan apa sahaja yang kamu infakkan, maka sesungguhnya ALLAH MAHA MENGETAHUI.” (Surah Ali Imran: 92)

Menurut khatib, ayat al-Quran ini menjelaskan antara jalan untuk memperoleh kebajikan yang besar ialah dengan menginfakkan harta yang disayangi pada jalan ALLAH.

“Wakaf merupakan salah satu bentuk kebajikan yang termasuk dalam amalan menginfakkan harta iaitu menahan harta dan memberikan manfaatnya untuk tujuan yang dibenarkan syarak kerana mengharapkan keredaan ALLAH SWT.

“ALLAH mengetahui setiap harta yang diinfakkan dan mengetahui keikhlasan orang yang menginfakkannya,” ujar khatib pada permulaan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) baru-baru ini.

Khatib turut mengingatkan umat Islam supaya berusaha untuk berwakaf mengikut kemampuan masing-masing.

“Apa yang penting ialah keikhlasan kepada ALLAH SWT selain harta yang diwakafkan hendaklah diperoleh melalui jalan yang halal serta digunakan untuk tujuan yang dibenarkan syarak.

“Maka janganlah seseorang menggunakan harta yang diperoleh melalui jalan yang haram untuk berwakaf dengan tujuan mendapatkan pahala daripada-NYA,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

JADIKAN wakaf sebagai budaya dalam kehidupan agar ganjaran berterusan dapat terus dikecapi walau sudah meninggal dunia.
JADIKAN wakaf sebagai budaya dalam kehidupan agar ganjaran berterusan dapat terus dikecapi walau sudah meninggal dunia.

Islam menggalakkan umatnya supaya memperbanyakkan amal kebajikan di dunia ini selagi hayat dikandung badan sebelum ajal tiba dan salah satu amalan kebajikan tersebut ialah wakaf.

Menurut khatib, wakaf dalam Islam mempunyai kelebihan-kelebihan yang tersendiri, antaranya:

1 - Wakaf kekalkan harta untuk kebajikan

Antara kelebihan wakaf ialah manfaatnya tidak berhenti pada orang yang mewakafkan harta sahaja. Selagi harta wakaf itu dijaga dan dimanfaatkan menurut tujuan yang dibenarkan syarak, orang ramai boleh terus mendapat manfaat daripadanya.

Rasulullah SAW memberikan contoh yang jelas melalui wakaf Umar Al-Khattab RA. Baginda mengarahkan agar pokok harta itu dikekalkan manakala hasilnya diberikan untuk kebajikan. 

Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu mahu, tahanlah asal harta itu dan sedekahkanlah hasilnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, seorang Muslim boleh merancang wakaf yang memberikan manfaat berpanjangan seperti tanah, bangunan, kedai atau kemudahan yang digunakan untuk kebajikan, dengan mematuhi syarat dan ketetapan wakaf.

2 - Wakaf jadi sedekah jariah

Setiap manusia yang meninggal dunia, dia terputus peluang untuk menambah amalan dengan usahanya sendiri selepas kematian.

Namun ALLAH SWT memberikan kelebihan kepada sebahagian amalan yang pahala serta manfaatnya terus berjalan selepas seseorang itu meninggal dunia iaitu wakaf.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah yang berterusan, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

BERUSAHALAH untuk berwakaf secara konsisten walau dalam jumlah yang kecil.
BERUSAHALAH untuk berwakaf secara konsisten walau dalam jumlah yang kecil.

Hadis ini menunjukkan sedekah yang manfaatnya terus berjalan merupakan antara amalan yang pahalanya terus mengalir selepas kematian.

3 - Wakaf bantu golongan memerlukan

Antara tujuan besar wakaf adalah supaya manfaat harta dapat diberikan kepada manusia.

Dengan wakaf, sesuatu harta tidak hanya memberikan manfaat kepada pemiliknya ketika hidup, bahkan manfaatnya boleh diberikan kepada golongan fakir, kaum kerabat, orang yang dalam perjalanan, tetamu dan pelbagai tujuan kebajikan yang lain.

Sebagai contoh, sebidang tanah boleh dimanfaatkan untuk pendidikan, sebuah bangunan boleh dijadikan tempat ibadah dan sebuah kedai yang diwakafkan boleh menghasilkan pendapatan untuk membantu orang yang memerlukan.

4 - Wakaf jana ganjaran pahala berganda

ALLAH SWT menjanjikan ganjaran yang besar bagi orang yang membelanjakan hartanya pada jalan-NYA.

Wakaf yang dilakukan dengan ikhlas kerana-NYA dan digunakan untuk tujuan yang dibenarkan syarak merupakan salah satu bentuk kebajikan yang melibatkan pengorbanan harta pada jalan ALLAH.

Oleh itu, janganlah kita memandang kecil harta yang kita wakafkan kerana ALLAH yang menentukan ganjarannya.

SELAIN kutipan, pengurus harta wakaf juga seharusnya bijak dalam mengembangkan aset harta wakaf agar hasilnya dapat terus dimanfaatkan.
SELAIN kutipan, pengurus harta wakaf juga seharusnya bijak dalam mengembangkan aset harta wakaf agar hasilnya dapat terus dimanfaatkan.

Sebelum mengakhiri khutbah, khatib sekali lagi berpesan bahawa wakaf bukan sekadar menyerahkan harta, tetapi merupakan amal kebajikan yang manfaatnya dapat terus dirasai manusia.

“Marilah kita mengambil peluang berwakaf mengikut kemampuan masing-masing dengan niat yang ikhlas kerana ALLAH SWT, menggunakan harta yang halal serta mengikut syarat dan ketetapan syarak,” pesannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!