Pas kesal surat Muhyiddin tular, akan nyatakan pendirian kepada PN

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Datuk Seri Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Pas akan menyatakan pendirian kepada presiden parti-parti anggota Perikatan Nasional (PN) susulan pembatalan Mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan parti itu yang dijadualkan pada Khamis.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pihaknya kesal dengan penularan surat daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditujukan kepada presiden parti-parti anggota PN pada Selasa

"Pihak kami tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap segala butiran yang terkandung di dalam surat tersebut, khususnya berkaitan cadangan pembentukan Majlis Presiden PN dan pemansuhan jawatan Pengerusi PN.

"Sehubungan itu pihak kami akan menyatakan pendirian terhadap perkara tersebut secara bersurat kepada Presiden Parti-Parti Anggota PN untuk perhatian sewajarnya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Terdahulu, media melaporkan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN dibatalkan, sebaliknya ketua empat parti komponen gabungan itu akan mengadakan pertemuan di kediaman Muhyiddin.

Difahamkan, pertemuan ketua-ketua parti itu adalah mesyuarat awal bagi 'menentukan hala tuju' sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN serta melantik penggantinya.

Sebelum itu, Takiyuddin berkata, mesyuarat berkenaan tidak menyenaraikan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan bekas Perdana Menteri itu telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Nama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan PN, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin tidak disenaraikan dalam mesyuarat berkenaan memandangkan kedua-dua individu itu telah mengemukakan peletakan jawatan sebelum ini.

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!