Guru besar didenda RM3,500 buat tuntutan palsu keceriaan sekolah

Seorang guru besar sebuah sekolah didenda RM3,500 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen tuntutan palsu berkaitan projek keceriaan sekolah, dua tahun lalu.
Seorang guru besar sebuah sekolah didenda RM3,500 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen tuntutan palsu berkaitan projek keceriaan sekolah, dua tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Seorang guru besar sebuah sekolah didenda RM3,500 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen tuntutan palsu berkaitan projek keceriaan sekolah, dua tahun lalu.

Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman itu terhadap Ruslinah Mohamed Kaseh, 56, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas dua daripada empat pertuduhan pilihan yang dibacakan kepadanya.

Dua lagi pertuduhan pilihan iaitu pertuduhan pertama dan ketiga diambil kira sebagai pertimbangan (TIC) selaras peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Berdasarkan pertuduhan, Ruslinah ketika itu merupakan guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP (Felda) Bukit Kuantan didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen palsu sebagai tulen termasuk invois atas nama sebuah syarikat bagi tuntutan projek keceriaan sekolah berjumlah RM4,126.

Tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut adalah palsu memandangkan pembekalan bagi projek berkenaan tidak pernah dilaksanakan.

Kesalahan itu dilakukan di sekolah berkenaan pada 9 Disember 2022 di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding itu, peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan memandangkan anak guamnya mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan bakal bersara tahun hadapan.

Hujahnya, tertuduh menanggung empat anak berusia antara 16 hingga 28 tahun yang mana tiga daripadanya masih belajar, selain perlu menjaga ibu berusia 79 tahun yang menghidap penyakit kronik.

"Anak guam saya turut menanggung adik ipar yang menghidap sindrom Down dengan perbelanjaan bulanan RM300.

Artikel Berkaitan:

"Suami tertuduh juga seorang guru kini hanya menerima separuh gaji susulan sabitan kes jenayah lain yang kini masih dalam proses rayuan," katanya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ab Azim Ismail.

Ringkasan AI

  • KUANTAN - Seorang guru besar didenda RM3,500 kerana menggunakan dokumen tuntutan palsu untuk projek keceriaan sekolah
  • Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman itu kepada Ruslinah Mohamed Kaseh, 56 tahun, atas dua daripada empat pertuduhan pilihan
  • Ruslinah didakwa menggunakan dokumen palsu bagi tuntutan projek keceriaan sekolah berjumlah RM4,126
  • Kesalahan dilakukan di Sekolah Kebangsaan LKTP Bukit Kuantan pada 9 Disember 2020
  • Peguam memohon hukuman ringan dengan alasan rekod perkhidmatan baik Ruslinah dan tanggungan keluarganya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!