Polis terima lima laporan kanak-kanak dipukul di tadika, dua penjaga ditahan

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua wanita bagi membantu siasatan kes pukul membabitkan empat kanak-kanak di sebuah tadika di Sungai Buloh, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima lima laporan berhubung kejadian itu semalam di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh dan turut menemukan satu rakaman video berkaitan perkara tersebut sebagai bahan bukti.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku pada Julai hingga Ogos tahun lepas membabitkan empat kanak-kanak berusia lima hingga tujuh tahun.
"Dua wanita yang merupakan penjaga kanak-kanak telah dibenarkan reman lima hari oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Majistret Shah Alam dan seorang lagi akan dipanggil untuk dirakam keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi serta menyebarkan berita palsu berhubung kejadian berkenaan memandangkan siasatan masih dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Saujana Utama 03- 60382222 atau pegawai penyiasat Insp Muhammad Syahir Abdul Halim 016-3423258.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial berkongsi hantaran mendakwa memiliki rakaman video yang menunjukkan anaknya disyaki didera di sebuah tadika di Saujana Utama, selain mendakwa mempunyai video anak orang lain turut didera. - Bernama
Ringkasan AI
- Polis menahan dua wanita untuk siasatan kes pukul empat kanak-kanak di tadika Sungai Buloh
- Lima laporan diterima dan satu rakaman video dijadikan bukti
- Kejadian berlaku pada Julai hingga Ogos tahun lalu melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga tujuh tahun
- Dua wanita reman lima hari, seorang lagi akan direkam keterangan
- Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, masyarakat dinasihatkan tidak spekulasi atau sebar berita palsu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
