KPDN Kelantan kesan peniaga salah guna label Rahmah, tawar harga biasa

Azman (dua dari kiri) bersama Norlisan (kiri) menyerahkan replika kunci kepada penerima pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ihsan Rahmah di Kampung Pantai Mek Mas di Kota Bharu pada Isnin. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Azman (dua dari kiri) bersama Norlisan (kiri) menyerahkan replika kunci kepada penerima pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ihsan Rahmah di Kampung Pantai Mek Mas di Kota Bharu pada Isnin. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengesan lebih 10 kes melibatkan peniaga yang didapati menyalahgunakan label Rahmah bagi tujuan menarik pembeli, namun menawarkan harga jualan biasa tanpa diskaun sebenar.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, penyalahgunaan itu dikesan melibatkan koperasi, kedai runcit dan pasar mini menumpang nama Rahmah bagi meningkatkan jualan.

Menurut Azman, pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa terdapat peniaga menggunakan nama Rahmah pada jualan barangan keperluan asas, tetapi harga yang ditawarkan tidak selaras dengan inisiatif sebenar kerajaan.

“Apabila kita buat semakan, didapati peniaga terbabit tidak berdaftar di bawah program Jualan Rahmah.

“Mereka menggunakan perkataan Rahmah untuk menarik pembeli, sedangkan harga yang dijual adalah harga biasa bukannya potongan 30 peratus yang diberikan oleh kerajaan,” katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu beliau hadir pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ihsan Rahmah di Kampung Pantai Mek Mas, di sini.

Hadir sama, Presiden ATH Group, Norlisan Ramzai.

Ujar Azman, hasil semakan mendapati sesetengah peniaga turut menjual barangan yang tidak termasuk dalam senarai 25 item asas di bawah inisiatif Rahmah seperti susu tepung, yang tidak dibenarkan dalam kategori tersebut.

Ujarnya, apabila KPDN membuat teguran, mereka menurunkan serta-merta perkataan Rahmah pada gerai atau banner jualan.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, kita beri nasihat terlebih dahulu dan sekiranya masih ingkar, tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Azman memberitahu, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dan tindakan turun padang bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan terhadap inisiatif murni kerajaan itu.

Ringkasan AI

  • Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan mengesan lebih 10 kes penyalahgunaan label Rahmah oleh peniaga
  • Penyalahgunaan ini melibatkan koperasi, kedai runcit, dan pasar mini untuk meningkatkan jualan
  • Aduan dari orang awam tentang peniaga yang menggunakan nama Rahmah namun menawarkan harga biasa tanpa diskaun sebenar
  • Peniaga yang disiasat tidak berdaftar dalam program Jualan Rahmah dan menawarkan barang di luar senarai item inisiatif Rahmah
  • KPDN Kelantan memberi nasihat dan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang masih ingkar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!