'Jangan hanya tangguh, batalkan terus projek ladang babi' - Penduduk

Sebuah penempatan penduduk di Ladang Niger Gardner berhampiran Bukit Tagar. Gamba kecil dari kiri: Jamaliah, J Kamisah, Rusiah dan Mohd Som.
Sebuah penempatan penduduk di Ladang Niger Gardner berhampiran Bukit Tagar. Gamba kecil dari kiri: Jamaliah, J Kamisah, Rusiah dan Mohd Som.
A
A
A

HULU SELANGOR – Penduduk Felda Sungai Tengi Selatan menggesa Kerajaan Selangor membatalkan sepenuhnya cadangan pembinaan ladang penternakan babi berhampiran Bukit Tagar di sini, dan bukan sekadar penangguhan atau pembatalan sementara.

Jamaliah Arshad, 57, berkata, penduduk mahu jaminan jelas daripada kerajaan negeri bahawa projek penternakan di kawasan seluas 202 hektar itu tidak akan dihidupkan semula pada masa hadapan kerana ia menjejaskan ketenteraman komuniti setempat.

"Kami berharap supaya ladang ini tidak diusahakan langsung di kawasan kami yang berhampiran Bukit Tagar.

"Kami tidak mahu ia sekadar ditangguh atau dibatalkan sementara. Kami mahu kerajaan negeri membatalkannya selamanya demi ketenteraman masyarakat Islam di empat Felda berhampiran,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Menurutnya, penduduk berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendengar suara rakyat serta memastikan kesejahteraan dan keharmonian penduduk terus terpelihara.

"Ketenteraman penduduk di seluruh Hulu Selangor amat penting dan kami mahu terus hidup dalam keadaan aman tanpa kebimbangan isu ladang ini timbul kembali," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, J Kamisah Zainal, 57, berkata, keputusan muktamad amat penting bagi memastikan penduduk tidak lagi resah dan kehidupan seharian mereka dapat diteruskan dengan selesa.

Laluan masuk ke Pusat Pelupusan Sisa Pepejal, Bukit Tagar.
Laluan masuk ke Pusat Pelupusan Sisa Pepejal, Bukit Tagar.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukanlah pembatalan sementara, tetapi kami berharap projek ini dibatalkan sepenuhnya sampai bila-bila.

"Penduduk di sini majoritinya beragama Islam dan kami mahu terus hidup dalam suasana aman tanpa kebimbangan isu ini berulang," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pergerakan Wanita Felda Sungai Tengi Selatan, Rusiah Imbran, 63, berkata, penduduk sering meluahkan keresahan yang sukar digambarkan sekiranya cadangan pembinaan ladang babi di kawasan Bukit Tagar diteruskan.

Katanya, walaupun penduduk bukan dalam kalangan golongan kaya, mereka kini selesa dengan keadaan sedia ada dan rutin harian tanpa sebarang gangguan.

"Setakat ini, kami boleh keluar masuk dengan selesa sama ada ke Pekan Bestari Jaya, Kuala Selangor atau Tanjung Malim,” katanya.

Menurutnya, kebimbangan utama penduduk adalah faktor laluan jalan yang terhad dan tiada alternatif sekiranya berlaku sebarang situasi yang tidak diingini.

"Kami tidak ada pilihan lain selain menggunakan laluan utama sahaja. Apa akan berlaku sekiranya berlaku situasi yang tidak diingini," jelasnya.

Ketua Peneroka Felda Sungai Tengi Selatan, Mohd Som Ismail pula berkata, keputusan itu menamatkan kebimbangan penduduk yang berjuang menolak pelaksanaan projek berkenaan.

"Kami bersyukur projek ladang babi itu tidak diwujudkan langsung di Bukit Tagar dan berterima kasih kepada Menteri Besar yang membatalkan projek ini.

"Tidak sia-sia perjuangan kami selama ini untuk menolak projek ladang babi di kawasan Bukit Tagar," katanya.

Sebuah pusat pelupusan sisa pepejal yang menggunakan teknologi moden di Bukit Tagar.
Sebuah pusat pelupusan sisa pepejal yang menggunakan teknologi moden di Bukit Tagar.

Menurutnya, pembatalan itu turut mententeramkan penduduk yang sebelum ini terkejut apabila kawasan mereka dipilih sebagai lokasi projek berkenaan.

"Selama ini kami hidup aman damai, namun apabila terdengar cadangan ladang babi di kawasan ini, penduduk berasa terkejut dan resah.

"Apabila projek itu tidak diteruskan, kami benar-benar rasa lega dan kehidupan kami menjadi lebih selesa tanpa kewujudan ladang babi," jelasnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa Kerajaan Selangor memutuskan untuk menangguhkan dan membatalkan sementara sebarang cadangan melibatkan pembangunan ladang penternakan babi di Bukit Tagar, berikutan bantahan keras penduduk serta keperluan penelitian lebih menyeluruh.

Amirudin berkata, isu itu telah dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), termasuk arahan kepada Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim untuk mencari kawasan alternatif berikutan bantahan penduduk berhampiran kawasan terbabit.

Ringkasan AI

  • Penduduk Felda Sungai Tengi Selatan menolak pembinaan ladang penternakan babi berdekatan Bukit Tagar
  • Penduduk menginginkan pengesahan pembatalan projek oleh Kerajaan Negeri Selangor, bukan hanya penangguhan
  • Masyarakat Islam di empat Felda berhampiran menuntut keamanan dan ketenteraman hidup tanpa ladang babi
  • Kebimbangan penduduk termasuk laluan jalan yang terhad tanpa alternatif untuk keadaan darurat
  • Kerajaan Selangor membatalkan sementara projek atas bantahan penduduk dan mempertimbangkan pencarian kawasan alternatif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!