Pesawah terima ‘hadiah’ rumah MAIK selepas miliki MyKad di usia 58 tahun

Sharuddin (kanan) bersama keluarganya hadir ke masjid untuk menerima kunci rumah sebagai simbolik penyerahan.
Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Sharuddin (kanan) bersama keluarganya hadir ke masjid untuk menerima kunci rumah sebagai simbolik penyerahan. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

BACHOK – Selepas gembira menerima kad pengenalan diri (MyKad) yang ditunggu-tunggu selama 58 tahun, seorang pesawah sekali lagi menikmati sinar bahagia dalam kehidupannya apabila memperoleh sebuah rumah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Sharuddin Basir, 59, menganggap rumah yang dibina di Kampung Keting, Gunong itu sebagai hadiah paling berharga dalam hidupnya selepas sekian lama bergelut dengan kesukaran akibat ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Menurut Sharuddin, sebelum ini beliau beberapa kali memohon bantuan rumah daripada MAIK, namun permohonannya tidak diluluskan kerana tidak mempunyai kad pengenalan.

“Dua tahun lepas saya sudah mohon, tahun lepas pun mohon juga, tapi semua tak lulus sebab saya tak ada MyKad.

“Memang sedih, tapi saya faham sebab itu syarat,” katanya selepas menerima Replika Kunci Rumah di Masjid Jamek Mahmoodi, di sini pada Selasa.

Sharuddin menunjukkan MyKad dan replika kunci rumah yang diperoleh daripada MAIK.
Sharuddin menunjukkan MyKad dan replika kunci rumah yang diperoleh daripada MAIK.

Replika tersebut disampaikan oleh Yang Dipertua MAIK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Sebelum ini, kisah derita Sharuddin menjalani kehidupan tanpa kad pengenalan telah dilaporkan media sehingga membolehkannya memiliki MyKad yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (KPPN), Datuk Badrul Hisham Alias pada Disember tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Sharuddin, permohonan terakhir rumah tersebut dibuat atas nama isterinya, Mariani Abdul Rahman, 39, dan telah diluluskan pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, MAIK kemudiannya menukar pemilikan rumah tersebut atas nama Sharuddin selepas mendapati tapak pembinaan rumah berkenaan terletak di atas tanah pusaka arwah ibu bapanya.

“Mohon atas nama isteri sebab masa tu belum terima kad pengenalan.

“Selepas dapat kad pengenalan, tiba-tiba terima panggilan daripada MAIK maklumkan rumah yang lulus ditukar ke nama saya,” katanya.

Rumah berkeluasan 76 meter persegi dan bernilai RM65,000 itu dilengkapi tiga bilik tidur dan kini telah siap sepenuhnya. Sharuddin sekeluarga dijangka mula mendiaminya dalam bulan ini.

“Alhamdulillah, umur 59 tahun baru dapat rumah sendiri.

“Insya-Allah tahun ini boleh beraya di rumah baharu bersama isteri dan anak-anak,” katanya.

Sharuddin yang mengusahakan sawah padi di tanah sewaan seluas kira-kira 4.05 hektar, berkata pendapatannya tidak menentu, sekitar RM1,500 sebulan bergantung kepada hasil padi.

Beliau mempunyai 10 orang anak, dengan empat masih kecil dan bersekolah, termasuk dua di peringkat prasekolah serta seorang bayi berusia 11 bulan. Enam lagi anaknya sudah dewasa dan mempunyai kehidupan sendiri.

Sejak memperoleh MyKad, Sharuddin turut menerima bantuan zakat daripada MAIK sebanyak RM300 serta sumbangan zakat masjid kampung berjumlah RM100 sebulan.

Beberapa bantuan lain termasuk Sumbangan Tunai Rahmah dan bantuan pesawah di bawah Kerajaan MADANI juga telah dimohon menggunakan MyKad.

Ringkasan AI

  • Selepas 58 tahun menanti, seorang pesawah menerima MyKad
  • Pesawah tersebut kemudiannya diberi sebuah rumah oleh MAIK
  • Pemohonan rumah tidak diluluskan sebelum ini kerana tiada MyKad
  • Permohonan terakhir dibuat atas nama isteri dan diluluskan setelah mendapatkan MyKad
  • Rumah berkeluasan 76 meter persegi itu bernilai RM65,000 dan dilengkapkan tiga bilik tidur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!