Turun bantu, jangan jadikan kesusahan rakyat bahan penceritaan

KEPALA BATAS – Dakwaan berhubung penduduk di Kepala Batas yang terputus bekalan beras tidak sepatutnya dijadikan bahan polemik atau penceritaan politik, sebaliknya perlu ditangani segera dengan tindakan langsung membantu mereka yang memerlukan.
Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jika benar ada individu atau keluarga yang berada dalam kesusahan, keutamaan semua pihak adalah turun padang menghulurkan bantuan bukan sekadar menjadikan isu itu perbincangan politik.
“Orang yang susah dan perlukan bantuan sebaiknya tidak dijadikan bahan cerita.
“Yang terbaik ialah pergi bantu. Kalau boleh, bantu secara senyap-senyap kerana ada kalanya mereka malu untuk meminta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-3 Koperasi Rakyat Pulau Pinang Berhad di Pejabat Angkasa, di sini pada Ahad.
Reezal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam berkata, berdasarkan pengalamannya, ada dalam kalangan golongan memerlukan berasa segan dan rendah diri untuk mengakui kesusahan yang dihadapi.
Justeru, beliau menyeru semua pihak termasuk wakil rakyat dan pemimpin setempat, untuk tampil menunjukkan bukti sekiranya benar terdapat kes terputus bekalan makanan.
“Kalau benar ada, tunjukkan kepada saya. Saya sendiri sanggup pergi dan bantu mereka.
“Saya anggap ini sebagai usaha kita semua menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan terbaik ialah membantu secara ikhlas tanpa mengaibkan mana-mana pihak.
“Jangan jadikan isu ini sebagai komoditi tertentu. Kalau kita benar-benar prihatin, lebih baik turun dan bantu secara senyap,” katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu menegur sikap segelintir pihak yang sering menyalahkan kerajaan dalam isu melibatkan kebajikan rakyat, termasuk laporan mengenai seorang penduduk di Kepala Batas yang didakwa terputus bekalan beras, seperti dibangkitkan oleh seorang Ahli Parlimen baru-baru ini.
“Saya dengar orang kata ada seorang di sini tak ada beras. Kita beri Sumbangan Asas Rahmah (SARA) – belilah beras. Kalau tak cukup, ahli Parlimen ada elaun – bayarlah sikit. Takkan semua nak beritahu Perdana Menteri.
“Kalau betul RM40,000 tak cukup, minta bantuanlah. Tapi kalau setakat RM20, takkan tak boleh bagi,” katanya.
Kenyataan Perdana Menteri itu dipercayai merujuk kepada Dr Siti Mastura Muhammad, Ahli Parlimen Kepala Batas yang mendakwa terdapat penduduk di kawasannya terpaksa mencatu beras dan membeli dalam kuantiti kecil kerana kesempitan hidup.
Ringkasan AI
- Isu dakwaan terdapat penduduk di Kepala Batas yang terputus bekalan beras perlu ditangani segera bukan dijadikan polemik
- Datuk Seri Reezal Merican menyeru agar bantuan disalurkan secara langsung kepada individu yang memerlukan tanpa menjadikannya modal politik
- Menurut Reezal, bantuan patut diberikan secara senyap untuk menjaga perasaan mereka yang malu meminta
- Reezal mengajak wakil rakyat dan pimpinan setempat untuk menunjukkan penduduk yang memerlukan bantuan makanan
- Perdana Menteri menegur sikap menyalahkan kerajaan dalam isu rakyat dan menyarankan tindakan segera memberi bantuan dengan menggunakan dana sedia ada
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

