India lapor dua kes baharu virus Nipah berbahaya

NEW DELHI – India melaporkan dua jangkitan baharu melibatkan virus Nipah yang berbahaya, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Menurut Kementerian Kesihatan India pada Selasa malam, berdasarkan laporan yang diterima daripada Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan (NCDC), hanya dua kes sah penyakit virus Nipah direkodkan di Bengal Barat sejak Disember tahun lalu hingga kini.
Kementerian itu turut menafikan laporan yang tular mengenai wujudnya kes jangkitan tambahan, sambil menegaskan maklumat berkenaan adalah tidak benar.
Susulan dua kes tersebut, langkah pengawasan, ujian makmal serta siasatan di lapangan telah dipertingkatkan.
Beberapa negara Asia lain turut bertindak meningkatkan langkah berjaga-jaga susulan wabak setempat di India.
Di Thailand, penumpang dari Kolkata, ibu negeri Bengal Barat, diperiksa di tiga lapangan terbang utama sejak hujung minggu lalu, kata Menteri Kesihatan, Pattana Promphat.
Pemeriksaan suhu badan dijalankan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Mueang di Bangkok serta di Phuket.
Sehingga Selasa, seramai 1,700 penumpang telah diperiksa dan kesemuanya didapati negatif. “Tiada sebab untuk panik,” tegas beliau.
Menurutnya, virus Nipah jauh lebih sukar menular daripada seorang ke seorang berbanding virus koronavirus.
Institut Perubatan Tropika Bernhard Nocht (BNITM) di Hamburg memaklumkan jangkitan virus Nipah adalah penyakit virus yang jarang berlaku namun serius, dan boleh menjangkiti manusia serta haiwan.
Virus itu secara semula jadi terdapat pada kelawar buah, namun boleh merebak kepada haiwan lain dan manusia.
“Dalam kalangan manusia, kadar kematian boleh mencecah sehingga 92 peratus,” menurut BNITM.
Penularan daripada manusia ke manusia boleh berlaku melalui hubungan rapat menerusi titisan udara, batuk atau bersin. - Bernama
Ringkasan AI
- India melaporkan dua jangkitan baru virus Nipah di Bengal Barat
- Kementerian Kesihatan India menafikan laporan tentang jangkitan tambahan dan mempertingkatkan pengawasan
- Beberapa negara Asia meningkatkan langkah berjaga-jaga, termasuk Thailand yang memeriksa suhu penumpang dari Kolkata
- Sehingga kini, 1,700 penumpang telah diperiksa dan semua negatif virus Nipah
- Virus Nipah dengan kadar kematian yang boleh mencapai 92% ditularkan melalui hubungan rapat dan berasal dari kelawar buah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
