Thailand perketat saringan kesihatan di lapangan terbang susulan wabak Nipah

Pegawai kuarantin memantau skrin kamera haba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi bagi mengesan suhu badan penumpang yang tiba, sebagai sebahagian daripada langkah saringan kesihatan dipertingkatkan susulan penularan wabak virus Nipah di India. Foto Agensi
Pegawai kuarantin memantau skrin kamera haba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi bagi mengesan suhu badan penumpang yang tiba, sebagai sebahagian daripada langkah saringan kesihatan dipertingkatkan susulan penularan wabak virus Nipah di India. Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK – Kawalan penyakit di beberapa lapangan terbang utama Thailand dipertingkatkan susulan penularan wabak virus Nipah di negeri Bengal Barat, India, yang disahkan berpotensi membawa maut.

Jabatan Kawalan Penyakit memaklumkan, langkah saringan kesihatan diperkukuh di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Don Mueang dan Phuket, khususnya terhadap penumpang yang tiba dari kawasan terjejas di India.

Pegawai kuarantin telah memulakan pemeriksaan rapi terhadap penumpang masuk, termasuk penggunaan kamera terma bagi mengesan suhu badan serta penilaian kesihatan di lokasi bagi individu yang menunjukkan tanda-tanda tidak sihat.

Menurut pihak berkuasa, mana-mana pengembara yang didapati mengalami demam tinggi atau gejala yang berkemungkinan berkaitan jangkitan virus Nipah akan segera dipindahkan ke fasiliti kuarantin untuk pemeriksaan lanjut.

Selain itu, penumpang dari Bengal Barat turut dinasihatkan agar memantau simptom jangkitan yang boleh merangkumi demam, sakit kepala teruk, sakit otot, sakit tekak, batuk, kesukaran bernafas, mengantuk berlebihan, kekeliruan serta sawan.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kawalan Penyakit turut mengeluarkan panduan perjalanan kepada rakyat Thailand yang merancang untuk ke India.

Mereka disaran mengikuti perkembangan kesihatan rasmi, mengelakkan lawatan ke kawasan wabak kecuali jika perlu, serta mengambil langkah pencegahan sewajarnya.

Langkah keselamatan termasuk memastikan buah-buahan dibasuh bersih sebelum dimakan dan mencuci tangan menggunakan sabun selepas mengendalikan haiwan, daging atau bangkai, terutamanya yang melibatkan kelawar, babi, kuda, kucing, kambing dan biri-biri yang dikenal pasti berpotensi menjadi pembawa atau perantara virus.

Individu yang pulang dari India dan mengalami gejala seperti demam, sakit kepala, keletihan, batuk atau gangguan neurologi dinasihatkan mendapatkan rawatan perubatan dengan segera bagi mengelakkan komplikasi serius. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kawalan penyakit di lapangan terbang utama Thailand diperketat akibat wabak virus Nipah di India
  • Saringan kesihatan diperkuat di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Don Mueang dan Phuket
  • Penggunaan kamera terma untuk mengesan suhu dan penilaian kesihatan bagi penumpang dari kawasan terjejas
  • Pengembara dengan gejala virus akan dipindahkan ke fasiliti kuarantin
  • Penumpang dari Bengal Barat dinasihatkan memantau simptom dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!