Kenapa Netanyahu tutup kamera telefon dengan pelekat?

JERUSALEM – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjadi tumpuan selepas foto peribadinya dengan kamera telefon yang ditutup pelekat tersebar di media sosial pada Selasa.
Tindakan itu menerima sindiran daripada kumpulan penggodam berkait Iran, Handala serta media Arab, yang menyifatkan tindakan Netanyahu berkenaan membuktikan kelemahan keselamatan digital Israel.
Gambar tersebut menunjukkan Netanyahu berbincang melalui telefon, namun lensa ditutup sebagai langkah keselamatan mudah tetapi memberi mesej tegas bahawa pejabatnya sedar ancaman siber yang kian meningkat.
Media Iran, Press TV menyiarkan foto itu dengan hantaran, 'Kumpulan penentang siber Handala jelas mempunyai pekerja terbaik bulan ini’, seolah-olah mengagumi keberkesanan penggodam mereka sambil menonjolkan kebimbangan pejabat Perdana Menteri Israel.
Media Jordan dan Emiriah Arab Bersatu turut menyorot tindakan itu dan menulis bahawa penutupan kamera adalah 'tanda paranoia digital' dan membangkitkan perbincangan luas tentang risiko pengintipan moden.
Kumpulan penggodam Handala sebelum ini mendakwa, berjaya mengakses telefon pegawai tinggi Israel termasuk bekas menteri dan ketua staf Netanyahu sekali gus menunjukkan bahawa ancaman itu nyata.
Pakar keselamatan menegaskan, pelekat kamera adalah langkah terakhir untuk menghalang maklumat sensitif disalahgunakan.
Malah jika penggodam berjaya menembusi pertahanan perisian, kamera yang ditutup tetap hanya merakam kegelapan, menafikan maklumat kritikal tentang mesyuarat dan dokumen rasmi.
Langkah mudah Netanyahu itu walaupun dilihat sebagai pencegahan biasa, menjadi bahan sindiran halus media Iran dan penggodam dengan memerli 'walaupun beliau seorang pemimpin, keselamatan digital pejabatnya bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan'. - Agensi
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjadi tumpuan selepas foto kamera telefonnya yang ditutup tersebar
- Tindakan menutup kamera itu diperolok oleh penggodam Iran dan media Arab sebagai tanda kelemahan keselamatan digital Israel
- Foto tersebut menunjukkan kesedaran pejabat Netanyahu terhadap ancaman siber
- Media asing dan kumpulan penggodam memandang tindakan menutup kamera sebagai tanda paranoia digital
- Pakar keselamatan menyatakan bahawa pelekat kamera adalah langkah pertahanan daripada penggodaman untuk melindungi maklumat sensitif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

