Thailand saring 1,700 penumpang dari India susulan wabak virus Nipah

Langkah saringan di lapangan terbang utama diperketatkan bagi memastikan keselamatan penumpang dari kawasan berisiko - Foto: Agensi
Langkah saringan di lapangan terbang utama diperketatkan bagi memastikan keselamatan penumpang dari kawasan berisiko - Foto: Agensi
A
A
A

BANGKOK – Kementerian Kesihatan Awam Thailand memaklumkan lebih 1,700 penumpang yang tiba dari Kolkata, Barat Bengal, India kawasan yang melaporkan beberapa kes wabak virus Nipah (NiV) telah menjalani saringan kesihatan, dengan tiada kes dikesan setakat ini.

Menteri Kesihatan Awam, Phatthana Phromphat berkata, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul telah mengarahkan semua agensi berkaitan memperketatkan langkah saringan, dengan pasukan di lapangan terbang mula beroperasi sejak hujung minggu lalu.

Penumpang dari kawasan berisiko tiba secara purata hampir 700 orang sehari melalui tiga lapangan terbang utama: Suvarnabhumi, Don Mueang, dan Phuket.

Menteri Phatthana menegaskan koordinasi telah dilakukan dengan timbalan perdana menteri dan Menteri Pengangkutan, Phiphat Ratchakitprakarn, untuk memastikan prosedur saringan dijalankan secara menyeluruh.

Jika terdapat kes disyaki, Jabatan Perkhidmatan Perubatan dapat menempatkan individu berkenaan dalam kuarantin dan menjalankan ujian virus dalam tempoh lapan jam.

Beliau menambah, virus Nipah berbeza dengan Covid-19 kerana individu yang belum menunjukkan simptom tidak menyebarkan virus, menjadikan risiko penularan di dalam penerbangan sangat rendah.

Thailand setakat ini belum pernah mencatatkan sebarang kes Nipah sejak virus ini dikenal pasti pada 1998.

Wabak lazimnya berlaku dalam kumpulan kecil di beberapa negara termasuk India dan Bangladesh.

Pihak berkuasa Thailand turut memantau situasi dengan rapi, termasuk penilaian perkembangan di India, dan setakat ini tiada tanda virus bermutasi.

Artikel Berkaitan:

Tiga hospital telah diarahkan bersedia menerima pesakit disyaki atau disahkan, termasuk:Hospital Rajavithi;Hospital Lerdsin dan Hospital Nopparat Rajathanee.

Persiapan melibatkan staf pakar, bilik isolasi, ubatan, dan peralatan perubatan, serta kerjasama dengan institusi pakar untuk komplikasi kompleks, seperti Institut Neurologi, Institut Penyakit Paru-paru, dan Institut Kesihatan Kanak-kanak Queen Sirikit.

Garis panduan klinikal juga sedang disediakan untuk kegunaan seluruh negara, berserta latihan kepada kakitangan kesihatan.

Jabatan Kawalan Penyakit berkata penyakit virus Nipah kekal sebagai salah satu daripada 13 penyakit berjangkit berbahaya di bawah Akta Penyakit Berjangkit B.E. 2558 (2015).

Penumpang dari kawasan berisiko diminta melengkapkan dokumen wajib dan melaporkan sebarang simptom tidak normal dalam tempoh 21 hari selepas ketibaan melalui talian hotline 1422.

Menteri Phatthana menasihatkan orang ramai tetap berwaspada tetapi tidak panik, dan pelancong dari kawasan berisiko digalakkan melaporkan sebarang simptom mirip selesema dengan segera kepada pegawai kesihatan. - Agensi

Ringkasan AI

  • Lebih 1,700 penumpang dari Kolkata, India disaring kesihatan di Thailand tanpa kes Nipah dikesan
  • Perdana Menteri Thailand arahkan perketat saringan kesihatan di lapangan terbang
  • Penumpang berisiko tiba hampir 700 orang sehari melalui tiga lapangan terbang utama di Thailand
  • Thailand belum catat kes Nipah, virus tidak mudah tersebar tanpa simptom
  • Tiga hospital di Thailand bersedia terima pesakit disyaki atau disahkan dengan penyakit Nipah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!