Senjata, peluru berkaitan kes kematian anak AR Badul diarah dikemukakan di mahkamah

KOTA KINABALU - Semua barangan berkaitan termasuk senjata api dan peluru yang digunakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi perlu dikemukakan sebelum prosiding tuntutan saman berhubung kematian Allahyarham Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya terhadap sembilan defendan disambung semula di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Datuk Alexander Siew How Wai pada Khamis, mahkamah mendapati beberapa barangan belum dikemukakan termasuk gambar yang lazimnya diambil ketika proses bedah siasat.
Mahkamah juga tidak melihat senjata api dan peluru yang digunakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi pada 3 dan 4 September 2019.
Walaupun gambar jaket kalis peluru telah dikemukakan, mahkamah mengarahkan jaket tersebut dibawa secara fizikal ke mahkamah.
Sehubungan itu, hakim memerintahkan semua barangan berkenaan serta apa-apa barangan lain yang berkaitan dibawa ke mahkamah dengan kadar segera untuk membolehkan pemeriksaan dibuat oleh kedua-dua pihak sebelum perbicaraan bersambung.
Prosiding yang turut mendengar keterangan saksi dalam pemeriksaan balas oleh pasukan peguam mewakili ahli keluarga Allahyarham itu ditangguhkan dan akan disambung semula pada 10 November depan.
Sebelum itu, ahli keluarga Allahyarham Mohd Zahir melalui pasukan peguam mereka telah memulakan prosiding tuntutan saman terhadap sembilan defendan termasuk bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pasukan peguam plaintif diwakili oleh Datuk Ansari Abdullah bersama anaknya, Erveana dan Noor Shazwani Sapri manakala pasukan pembelaan defendan ialah Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb dan Peguam Persekutuan, Siti Norashikin Hassanor serta Wan Nur Muhammad Ehsan Alauddin.
Mohd Zahir, 36, yang juga anak kepada pelakon popular A R Badul disahkan meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, pada 4 September 2019.
Ringkasan AI
- Semua barangan berkaitan termasuk senjata api dan peluru harus dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung kematian Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya
- Mahkamah mendapati beberapa barangan belum dikemukakan termasuk gambar dari proses bedah siasat
- Senjata api dan peluru yang digunakan dalam demonstrasi tidak diperlihatkan kepada mahkamah
- Hakim mengarahkan jaket kalis peluru dibawa secara fizikal ke mahkamah
- Prosiding tuntutan saman terhadap sembilan defendan termasuk bekas Panglima Tentera Darat dan ATM disambung pada 10 November
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
