Keluarga AR Badul mulakan tuntutan saman kematian anak tertembak mati 6 tahun lalu

KOTA KINABALU - Ahli keluarga Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya melalui pasukan peguam mereka telah memulakan prosiding tuntutan saman terhadap sembilan defendan termasuk bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Peguam, Datuk Ansari Abdullah berkata, prosiding di Mahkamah Tinggi itu sudah bermula sejak Isnin, melibatkan tuntutan daripada ibu, ayah dan adik Allahyarham yang ditembak mati pada 4 September 2019 semasa melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi.
“Keluarga telah memfailkan saman menuntut perintah daripada mahkamah dalam tiga aspek iaitu kecuaian, tindakan melulu dan pelanggaran tanggungjawab di bawah undang-undang.
"Sekiranya mahkamah menerima tuntutan tersebut, mereka turut memohon supaya ganti rugi diperintahkan dibayar atas kematian Allahyarham Mejar Zahir, yang telah dinaikkan pangkat Leftenan Kolonel selepas meninggal dunia.
“Tuntutan difailkan terhadap individu yang menembak, pegawai-pegawai atasan termasuk Ketua Angkatan Tentera Malaysia, pihak polis kerana gagal menyiasat dan mengambil tindakan di bawah undang-undang, serta hospital yang didakwa tidak memberi kerjasama,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada Selasa.
Menjawab persoalan mengapa tuntutan difailkan selepas tempoh agak lama, Ansari menjelaskan bahawa ia masih dibuat dalam tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang, iaitu sebelum tiga tahun daripada tarikh kejadian.
“Kami memfailkan sebelum tiga tahun, itu had masa yang ditetapkan oleh undang-undang. Selepas itu, kes ini ditetapkan di hadapan seorang hakim yang kemudiannya kurang sihat. Maka Hakim Mahkamah Tinggi, Alexander Siew How Wai, mengambil alih dan mendengar kes ini.
“Bagi prosiding ini, kami bercadang untuk memanggil tujuh saksi dan salah seorang daripadanya, iaitu bapa saudara Allahyarham, telah memberi keterangan. Kami kini sedang mencari seorang lagi saksi yang pernah menjalani latihan bersama arwah sebelum demonstrasi tersebut,” katanya.
Berhubung nilai saman, Ansari memaklumkan bahawa perkara itu diserahkan kepada budi bicara mahkamah untuk menentukan jumlah ganti rugi atau pampasan yang sesuai.
Difahamkan, prosiding berkenaan akan berlangsung sehingga Jumaat ini. Ansari turut dibantu dua peguam lain iaitu anaknya, Erveana Ansari, serta Noor Shazwani Sapri.
Untuk rekod, dalam kejadian enam tahun lalu, Mejar Mohd Zahir, 36, yang juga anak kepada pelakon terkenal AR Badul, meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu.
Ringkasan AI
- Keluarga Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya memulakan prosiding tuntutan saman terhadap bekas Panglima Tentera Darat dan ATM
- Tuntutan itu melibatkan isu kecuaian, tindakan melulu dan pelanggaran tanggungjawab
- Saman difailkan terhadap individu yang menembak, pegawai-pegawai atasan, pihak polis dan hospital
- Proses tuntutan dibuat dalam tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang, iaitu sebelum tiga tahun daripada tarikh kejadian
- Mejar Mohd Zahir meninggal dunia selepas tertembak dalam suatu demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
