Riak wajah pegawai tentera tertembak anak AR Badul nampak cemas, bersalah - Saksi

KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu diberitahu bahawa riak wajah yang cemas dan bersalah kelihatan pada Leftenan Kolonel Razahar Rashid iaitu pegawai yang telah tertembak Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya semasa mereka melakukan demontrasi di Kem Lok Kawi enam tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pegawai Staf 2, Mejar Mohammad Fariszul Syauqie Ismail yang hadir sebagai saksi pertama daripada pihak pembelaan defendan ketika ditanya Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb.
Nur Ezdiani sebelum itu bertanyakan kepada saksi siapa individu yang berlakon sebagai penembak Mohd Zahir dalam demonstrasi pada 4 September 2019 ketika itu.
"Individu yang melakukan aksi menembak Leftenan Kolonel Mohd Zahir dalam demonstrasi tersebut adalah Leftenan Kolonel Razahar Rashis yang melakonkan dan melakukan tugas sebagai pembawa momento dalam gimis tersebut," kata Mohammad Farizul Syauqie dalam keterangannya itu.
Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa dia meneruskan tugas memantau keseluruhan perjalanan acara sehingga tamat iaitu semua tetamu kenamaan (VIP) beredar dari lokasi acara.
"Setelah si mati dibawa ke Hospital Queen Elizabeth dan saya telah memastikan si mati mengalami kecederaan pada ketika itu, saya memantau keseluruhan acara dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada Leftenan Kolonel Razahar Rashid kerana riak wajah dan bahasa badan beliau berubah kerana melihat si mati dibawa menggunakan ambulans keluar dari lokasi kejadian.
"Sebaik tamat acara penyampaian momento kepada VIP, Leftenan Kolonel Razahar telah keluar dari lokasi acara iaitu beliau bergerak ke kawasan sebelah pentas untuk bertanya kepada saya situasi yang berlaku.
"Dalam masa sama, saya terus mendapatkan pistol yang ada pada beliau untuk dikeluarkan peluru dan saya membawanya ke markas pasukan tersebut iaitu di bilik bincang pasukan," katanya.
Nur Ezdiani kemudian bertanya lanjut, kenapa Razahar dibawa ke bilik bincang pasukan tersebut dan saksi memaklumkan ia adalah sebagai inisiatif awal untuk menenangkannya selepas kejadian tersebut.
"Sebagai pegawai tentera yang berpengalaman dan terlatih, saya dapat membaca dan menganalisis keadaan emosi Leftenan Kolonel Razahar apabila dimaklumkan si mati telah cedera dalam lakonan tembakan tersebut.
"Saya mendapati, emosi beliau sangat tidak stabil dan menunjukkan riak wajah yang amat cemas dan bersalah kerana telah mencederakan tanpa sengaja dalam aktiviti tersebut.
"Jadi sebagai inisiaitf awal, bagi menenangkan beliau dan mengelakkan beliau drpd berjumpa sesiapa berkaitan kejadian tersebut, saya telah membawa beliau ke Lokasi yang dimaksudkan bagi tujuan pengasingan," katanya.
Saksi turut memberitahu mahkamah tujuan pengasingan di bilik tersebut adalah untuk mengelak Razahar berjumpa dengan mana-mana individu lain dan bertujuan untuk menenangkan beliau yang baru saja dimaklumkan berkaitan kejadian itu.
"Tempoh pengasingan pada ketika itu adalah bermula sejurus selepas tamat acara sehingga ke waktu petang iaitu apabila pihak forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di lokasi kejadian untuk menyiasat tempat kejadian," katanya.
Beliau turut berkata, sepanjang tempoh itu hanya dia dan Razahar berada dalam bilik tersebut dan mengesahkan Razahar tidak bertemu dengan individu lain selain daripadanya.
Sebelum itu, ahli keluarga Allahyarham Mohd Zahir Armaya melalui pasukan peguam mereka telah memulakan prosiding tuntutan saman terhadap sembilan defendan termasuk bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pasukan peguam, Datuk Ansari Abdullah bersama anaknya, Erveana dan Noor Shazwani Sapri berkata, tuntutan tersebut adalah daripada ibu, ayah dan adik Allahyarham.
Mohd Zahir, 36, yang juga anak kepada pelakon popular A R Badul, disahkan meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu.
Ringkasan AI
- Leftenan Kolonel Razahar Rashid tertembak Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya semasa demonstrasi di Kem Lok Kawi
- Riak wajah cemas dan bersalah kelihatan pada Razahar selepas kejadian
- Mejar Mohammad Fariszul Syauqie Ismail merupakan saksi pertama yang memberi keterangan
- Inisiatif awal diambil untuk menenangkan Razahar termasuk membawanya ke bilik pengasingan
- Razahar dan Mohd Zahir berperanan dalam simulasi tembakan yang berakhir dengan tragedi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
