Gelandangan maut dipukul di medan selera

BUTTERWORTH – Seorang lelaki gelandangan berusia lingkungan 60-an disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya selepas dipercayai dipukul di Medan Selera Kampung Jawa di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada petugas Hospital Seberang Jaya kira-kira jam 7.30 malam Ahad lalu, memaklumkan kematian seorang lelaki yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang gelandangan dan telah dihantar ke hospital tersebut oleh ambulans pada Sabtu, kira-kira jam 2.48 pagi sebelum menerima rawatan di wad.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan penyakit jantung koronari.
“Bagaimanapun, mangsa turut mengalami patah tulang rusuk di bahagian kiri badan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, seorang suspek berjaya ditahan oleh anggota dari Balai Polis Butterworth bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan kes, Asisten Superintenden Hasryman Osman di talian 04-576 2222 sambungan 2275 atau mengunjungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Ringkasan AI
- Lelaki gelandangan berusia lingkungan 60-an meninggal di Hospital Seberang Jaya akibat penyakit jantung koronari
- Mangsa dihantar ke hospital oleh ambulans selepas dipercayai dipukul
- Mangsa mengalami patah tulang rusuk di bahagian kiri badan
- Seorang suspek yang positif dadah telah ditahan bagi membantu siasatan
- Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

