'Lesen dulang emas di Kelantan macam geran tanah, garisan panduan kabur' - Pemilik lesen

Pemilik lesen mendulang emas di Kelantan, Ahmad Fauzan mengakui terkejut apabila dokumen yang dikeluarkan kerajaan negeri seperti sekeping geran tanah.
Pemilik lesen mendulang emas di Kelantan, Ahmad Fauzan mengakui terkejut apabila dokumen yang dikeluarkan kerajaan negeri seperti sekeping geran tanah.
A
A
A

KOTA BHARU - Pemilik lesen mendulang emas di Kelantan mengakui terkejut apabila dokumen yang dikeluarkan kerajaan negeri seperti sekeping geran tanah.

Perkara itu dikongsikan oleh pemilik lesen, Ahmad Fauzan Mohd Zain, 48, atau Puje Zain menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

"Ni lah lesen mendulang emas pertama di Kelantan. Ore kelate kata palo kande ni sobat dia mari ngan lombor D 1/2026. Rupa macam geran tanah dah ni. Nombor D 1 ni bukan kaleng kaleng (biasa-biasa)," tulisnya.

Menurut beliau, garisan panduan berkaitan dengan lesen itu masih kabur sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemilik.

"Mula-mula masa di umum kan TMB (Timbalan Menteri Besar) dimaklumkan bayaran lesen RM100. Akan tetapi sebenarnya RM200 iaitu bayaran proses RM100 dan bayaran lesen RM100 untuk tempoh setahun.

"Ada dinyatakan lesen ini tidak boleh diperbaharui, maksudnya 2027 kena mohon lain la kut. RM200 lagi la, ke aku salah faham," katanya.

Ahmad Fauzan memberitahu, semasa mengisi borang permohonan, pemohon perlu mengisi kawasan yang dipohon untuk mendulang.

Katanya, ketika itu dia memilih kawasan daerah Jeli.

"Di muka surat dua dilampirkan peta kawasan sungai yang dibenarkan iaitu bagi kawasan Jeli iaitu Sungai Tadoh (sepanjang 4 kilometer) dan sungai Pergau (sepanjang 2 kilometer).

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan pihak PTG (Pejabat Tanah dan Galian) akan menanda kawasan yang terlibat. Bukan sepanjang sungai ya. Kemudian saya ada bertanya pegawai, sekiranya saya ingin mendulang di daerah Kuala Krai contohnya, tak dibenarkan," katanya.

Ujarnya, pemilik lesen itu perlu membuat permohonan baharu bagi daerah Kuala Krai.

"Dalam lampiran tiga syarat lesen mendulang, lesen mendulang ini perlu dibawa semasa proses mendulang.

"Saya rasa kena bawa fail la semasa mendulang nak letak sijil ni. Juga dinyatakan tidak dibenarkan menggali melebihi satu meter, tidak dibenarkan menggali tebing, cuma di benarkan mendulang di kawasan 1/3 sungai (tengah-tengah sungai)," ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kerajaan Kelantan meluluskan 99 lesen mendulang emas kepada individu yang membuat permohonan sebelum ini.

Menurut Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri, Datuk Nik Raisnan Daud, lesen tersebut boleh dituntut di PTG negeri di Kompleks Kota Darulnaim pada Rabu.

"Kesemua 99 individu ini merupakan kumpulan pertama yang permohonan mereka sudah mendapat kelulusan pihak kerajaan negeri.

"Kumpulan ini merupakan individu yang membuat permohonan pada 1 Januari lalu," katanya.

Sebelumnya menurut Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, sebanyak 332 permohonan untuk aktiviti mendulang emas diterima kerajaan negeri setakat ini.

Ujarnya, daripada jumlah itu 178 pemohon sudah melakukan pembayaran manakala yang selebihnya dalam penelitian.

Lima sungai yang dibenarkan untuk aktiviti mendulang ialah Sungai Tadoh, Sungai Pergau, Sungai Gentian, Sungai Galas dan Sungai Bertam.

Lesen mendulang emas di Kelantan mula diedarkan pada Khamis apabila Ahmad Fauzan hadir menuntutnya di PTG, Kota Darulnaim, Kota Bharu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!