Kelantan lulus 99 lesen dulang emas, boleh tuntut mulai esok

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan meluluskan sebanyak 99 lesen mendulang emas kepada individu yang membuat permohonan sebelum ini.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Datuk Nik Raisnan Daud berkata, semua lesen berkenaan boleh dituntut di PTG Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, bermula Rabu.
“Kesemua 99 individu ini adalah kumpulan pertama yang permohonan mereka telah mendapat kelulusan kerajaan negeri.
“Mereka terdiri daripada pemohon yang mengemukakan permohonan pada 1 Januari lalu,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut beliau, kelulusan lesen itu membabitkan pemohon dari jajahan Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa aktiviti mendulang emas di Kelantan boleh dimulakan selepas lesen kelulusan dikeluarkan bermula Rabu.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dilaporkan berkata, kerajaan negeri menerima sebanyak 332 permohonan bagi aktiviti mendulang emas setakat ini.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 178 pemohon sudah membuat pembayaran manakala selebihnya masih dalam proses penelitian.
Sementara itu, lima sungai yang dibenarkan untuk aktiviti mendulang emas ialah Sungai Tadoh, Sungai Pergau, Sungai Gentian, Sungai Galas dan Sungai Bertam.
Ringkasan AI
- Kerajaan Kelantan meluluskan 99 lesen mendulang emas
- Lesen boleh dituntut di PTG Kelantan
- Pemohon yang diluluskan adalah dari jajahan Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai
- Kerajaan negeri menerima 332 permohonan mendulang emas
- Lima sungai yang dibenarkan untuk aktiviti mendulang emas adalah Sungai Tadoh, Sungai Pergau, Sungai Gentian, Sungai Galas dan Sungai Bertam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

