Beras Darul Naim masuk pasaran runcit pertengahan tahun ini

KOTA BHARU – Beras keluaran Kelantan, Beras Darul Naim dijangka menembusi pasaran runcit sekitar pertengahan tahun ini.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, operasi Kilang Padi dan Beras Darul Naim di Meranti, Pasir Mas yang bermula sejak November lalu kini beroperasi dengan kapasiti pemprosesan sehingga 600 metrik tan padi sehari.
“Setakat ini, kilang berkenaan memproses padi dan menghasilkan beras campuran sebagai fasa awal pengeluaran yang dihantar ke Kedah serta Johor.
“Kami dalam proses membawa mesin penggilap beras bulan depan bagi mencapai tahap beras putih sepenuhnya sebelum dipasarkan ke pasaran runcit seluruh negara,” katanya selepas melihat ujian awal Sistem Pam Kemubu 4 di Stesen Pam Kemubu di sini pada Ahad.

Mengulas mengenai pemasaran, beliau berkata, Beras Darul Naim itu akan dipasarkan dalam pek runcit lima kilogram dan 10 kilogram untuk kegunaan pengguna.
“Apabila mesin tersebut beroperasi sepenuhnya, keseluruhan proses termasuk penggilapan akhir boleh dilakukan di Kelantan,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, malah membantu mengurangkan kebergantungan negeri terhadap bekalan beras luar selain memperkukuh rantaian industri padi dan beras tempatan.
“Kilang ini juga dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan kebajikan pesawah melalui urusan pemprosesan yang lebih cepat dan tersusun,” katanya.
Ringkasan AI
- Beras Darul Naim daripada Kelantan dijangka menembusi pasaran runcit pertengahan tahun ini
- Kilang Padi dan Beras Darulnaim di Meranti, Pasir Mas bermula operasi November lalu dengan kapasiti 600 metrik tan padi sehari
- Beras campuran dihantar ke Kedah dan Johor sebagai fasa awal pengeluaran
- Mesin penggilap beras akan dibawa bulan depan untuk menghasilkan beras putih sepenuhnya
- Beras akan dipasarkan dalam pek runcit 5kg dan 10kg
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

