MAIK bina 215 rumah untuk golongan asnaf

BACHOK – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membina 215 rumah untuk golongan asnaf di seluruh negeri ini dengan peruntukan berjumlah RM14.9 juta sepanjang tahun lalu.
Yang Dipertua MAIK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata, setiap rumah bernilai antara RM65,000 hingga RM80,000 bergantung kepada bilangan ahli keluarga penerima.
“Rumah tiga bilik bernilai RM65,000, empat bilik RM73,000 manakala lima bilik pula bernilai RM80,000.
“Pemilihan penerima dibuat melalui kerjasama MAIK dengan Pejabat Tanah dan Jajahan selain turut menerima maklumat daripada pemimpin tempatan seperti penghulu atau penggawa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Bantuan Awal Persekolahan Asnaf MAIK 2026 dan Penyerahan Replika Kunci Rumah MAIK kepada 24 penerima di Masjid Jamek Mahmoodi, di sini, pada Selasa.
Turut hadir, isteri beliau, Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Pada majlis sama, Tengku Mohamad Rizam turut menyampaikan bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 seorang kepada 210 pelajar dari Masjid Mukim Zon Bachok melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM31,500.
Menurutnya, peruntukan tahunan bagi bantuan awal persekolahan kepada golongan asnaf pada tahun ini adalah sebanyak RM3.5 juta, melibatkan seramai 25,578 pelajar di seluruh Kelantan.
Sementara itu, penerima rumah MAIK, Nor Asiah Safei, 39, dari Kampung Nipah, di sini, menyatakan rasa syukur apabila akhirnya memiliki rumah sendiri selepas sekian lama menyewa.
Katanya, sejak lapan tahun lalu dia bersama suaminya, Raja Shahrun Eshan Raja Ali, 38, dan dua anak terpaksa tinggal di rumah sewa dengan bayaran RM300 sebulan.
“Saya memohon bantuan rumah MAIK ini sejak tahun 2022.
“Penantian kami berbaloi. kami dapat rumah tiga bilik untuk jadi tempat tinggal,” katanya.
Ringkasan AI
- MAIK membina 215 rumah untuk golongan asnaf di Kelantan dengan peruntukan RM14.9 juta
- Harga setiap rumah adalah antara RM65,000 hingga RM80,000 bergantung kepada bilangan bilik
- Pemilihan penerima rumah berlangsung melalui kerjasama MAIK dengan Pejabat Tanah dan Jajahan serta maklumat dari pemimpin tempatan
- Majlis Pelancaran Bantuan Awal Persekolahan Asnaf MAIK 2026 dan Penyerahan Replika Kunci Rumah kepada 24 penerima dilakukan di Masjid Jamek Mahmoodi
- Bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 diberikan kepada 210 pelajar, dengan peruntukan tahunan untuk bantuan tersebut adalah RM3.5 juta untuk 25,578 pelajar di Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

