Penduduk Kelantan mohon lesen dulang emas hari ini

Proses permohonan di kaunter PTG berjalan lancar.
Proses permohonan di kaunter PTG berjalan lancar.
A
A
A

KOTA BHARU – Segelintir penduduk Kelantan teruja mengambil peluang memohon lesen mendulang emas di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kota Darulnaim di sini sebaik permohonan dibuka pada Khamis.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kaunter permohonan dibuka seawal jam 8.30 pagi, dengan penduduk antaranya dari Tanah Merah, Jeli dan Kota Bharu mula hadir ke kaunter sekitar jam 9 pagi.

Urusan permohonan tersebut juga berjalan lancar tanpa kesesakan apabila setakat sesi pagi, kurang daripada 10 pemohon hadir membuat permohonan secara terus di kaunter berkenaan.

Seorang pengusaha tapak perkhemahan, Ahmad Fauzan Mohd Zain, 48, berkata, meskipun tidak pernah mendulang emas sebelum ini, dia mahu mencuba dan mengambil peluang memohon lesen berkenaan.

Ahmad Fauzan (kiri) membuat urusan permohonan di kaunter PTG.
Ahmad Fauzan (kiri) membuat urusan permohonan di kaunter PTG.

“Saya berasal dari Kota Bharu tetapi sudah dua tahun mengusahakan tapak perkhemahan berhampiran Sungai Pergau dan menetap di Jeli.

“Saya belum pernah mendulang, tetapi tahulah serba sedikit hasil pembacaan dan perkongsian di media sosial,” katanya ketika ditemui di PTG Kota Darulnaim, di sini, Khamis.

Ahmad Fauzan selesai menyerahkan borang permohonan bersama bayaran yuran proses sebanyak RM100.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, dia mengakui sedikit terkejut apabila dimaklumkan perlu membuat bayaran tambahan RM100 sekiranya permohonannya diluluskan kelak.

“Sebelum ini dimaklumkan hanya perlu bayar RM100 sahaja, tetapi rupa-rupanya menjadi RM200.

“Kalau boleh, bayaran ini dikurangkan supaya lebih ramai penduduk berminat dan mampu memohon,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk Tanah Merah, Khalil Abdullah, 42, berkata, dia segera membuat permohonan sebaik kaunter dibuka selepas tidak lagi memperoleh pendapatan sebagai buruh susulan keadaan ekonomi dan ketiadaan projek pembinaan.

Ahmad Fauzan (tengah) menyerahkan borang permohonan kepada kakitangan PTG.
Ahmad Fauzan (tengah) menyerahkan borang permohonan kepada kakitangan PTG.

“Di kampung memang susah nak cari rezeki.

“Apabila kerajaan sudah usahakan satu jalan untuk kemajuan diri rakyat Kelantan, jadi kami sokong,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk Tumpat, Mohd Yusoff Hasan, 53, berkata, meskipun menetap di luar kawasan yang mempunyai mineral emas, dia tetap memohon lesen bagi membolehkannya memasuki kawasan mendulang di Sokor, Tanah Merah.

“Dulu saya tukang emas, memang ada pengalaman dan peralatan mendulang pun sudah ada.

“Sebelum ini pernah ke kawasan emas, tetapi tidak mendulang kerana belum ada lesen,” katanya.

Difahamkan, seramai 144 penduduk Kelantan sudah mengambil borang permohonan lesen mendulang emas sejurus pengumuman dibuat oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, pada November tahun lalu.

Borang permohonan boleh diperoleh di PTG serta Pejabat Tanah dan Jajahan di seluruh negeri ini dan pemohon perlu membawa kad pengenalan berserta salinan pengesahan sebagai rakyat Kelantan.

Ringkasan AI

  • Penduduk Kelantan teruja memohon lesen mendulang emas di Pejabat Tanah dan Galian
  • Kaunter permohonan dibuka pada jam 8.30 pagi dan urusan permohonan berjalan lancar
  • Ahmad Fauzan Mohd Zain, menyerahkan borang permohonan bersama bayaran yuran proses RM100 dan terkejut dengan bayaran tambahan RM100 jika dilulus
  • Khalil Abdullah membuat permohonan lesen sebagai sumber pendapatan baru selepas terjejas ekonomi
  • Seramai 144 penduduk Kelantan sudah mengambil borang permohonan lesen mendulang emas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!