Dulang emas tidak perlu keluar zakat - Mufti Kelantan

KOTA BHARU - Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan, emas yang diperolehi hasil daripada mendulang tidak perlu mengeluarkan zakat.
Menurut beliau, zakat emas perlu dibuat apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
"Kalau dapat sikit emas, tidak sampai 85 gram dan terus jual tidak kena zakat.
"Tetapi kalau kumpul sehingga cukup 85 gram dalam tempoh setahun kena bayar zakat.
"Kalau jual runcit tidak tersimpan selama setahun tidak perlu bayar zakat emas kerana tidak terlibat dengan hukum zakat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Mohamad Shukri memberitahu, mendulang itu satu usaha mencari emas tetapi selagi tidak memenuhi syarat tidak perlu keluar zakat.
Ujarnya, syarat wajib zakat emas di Kelantan adalah wajib bagi semua emas yang cukup haul (setahun), cukup nisab (85 gram untuk emas simpanan) dan memenuhi syarat wajib zakat (Islam, merdeka, sempurna milik).
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan,Kerajaan Kelantan meluluskan prosedur operasi standard (SOP) bagi permohonan lesen mendulang emas di bawah Seksyen 28 Enakmen Mineral 2001, sekali gus menetapkan hanya rakyat negeri ini sahaja dibenarkan memohon lesen berkenaan mulai Januari depan.
Menurut Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, bayaran lesen ialah RM100 untuk tempoh setahun dan perlu diperbaharui.
Ringkasan AI
- Emas yang diperolehi melalui mendulang tidak perlu zakat kecuali memenuhi syarat tertentu
- Zakat emas dikenakan apabila jumlahnya mencapai 85 gram dan disimpan selama setahun
- Jualan runcit emas yang tidak tersimpan selama setahun tidak dikenakan zakat
- Syarat wajib zakat emas di Kelantan termasuklah cukup haul (setahun), cukup nisab (85 gram), dan memenuhi syarat wajib zakat (Islam, merdeka, sempurna milik)
- Kerajaan Kelantan meluluskan SOP untuk permohonan lesen mendulang emas mulai Januari dengan bayaran RM100 setahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

