'Jangan ingat kami tak tahu' - PERKESO beri amaran buru sindiket tuntutan palsu

PUTRAJAYA - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberi amaran keras kepada ejen serta pencarum supaya menghentikan serta-merta sebarang cubaan membuat tuntutan palsu.
Tegas Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz, enam individu telah ditangkap setakat ini hasil risikan agensi itu, manakala sindiket selebihnya dikenal pasti dan kini berada dalam radar pihaknya.
"Kepada ejen dan pencarum di luar sana, jangan ingat kami tidak tahu. Semua sindiket ini berada dalam radar kami,” katanya menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman sosialnya pada Isnin.
Beliau berkata, pembongkaran terbaharu itu susulan penangkapan kes tuntutan palsu di Pulau Pinang sebelum ini yang membawa kepada pengesanan kegiatan sama di Perlis.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket berkenaan melibatkan ejen yang bersekongkol dengan pencarum dengan mendakwa kononnya mereka mengalami strok bagi tujuan membuat tuntutan palsu daripada PERKESO.
“Hasil risikan daripada Bahagian Integriti dan Risikan PERKESO kami berjaya mengesan enam individu yang cuba membuat tuntutan palsu dan berjaya menyelamatkan dana berjumlah RM3.78 juta,” jelasnya.
Ujar Dr Mohammed Azman, PERKESO tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memperdaya sistem dan dana perlindungan sosial yang diwujudkan untuk kebajikan pencarum.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pencarum supaya tidak menggunakan pihak ketiga dalam urusan tuntutan dan sebaliknya berurusan terus dengan pejabat PERKESO atau melalui saluran dalam talian yang disediakan.
“Jangan tunggu nasi menjadi bubur. Berhenti sebelum terlewat,” kata beliau.
Sebelum ini, PERKESO dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar satu sindiket pemalsuan tuntutan Faedah Pencen Ilat menerusi operasi khas yang dikenali sebagai ‘Ops Stroke’.
Hasil risikan mendalam yang telah dijalankan sejak 3 September tahun lalu mendapati, jumlah faedah RM220,000 telah dibayar akibat tuntutan palsu sebelum dikesan dan anggaran nilai kerugian yang berjaya disekat adalah RM3.78 juta.
Dalam operasi itu, seramai enam individu telah diberkas, melibatkan Orang Berinsurans (OB) dan dalang utama yang disyaki bersekongkol memalsukan dokumen bagi tujuan tuntutan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Ringkasan AI
- PERKESO memberi amaran keras kepada ejen serta pencarum untuk menghentikan tuntutan palsu
- Enam individu telah ditangkap hasil risikan PERKESO, sindiket lain dalam radar
- Sindiket melibatkan ejen bersekongkol dengan pencarum mendakwa strok untuk membuat tuntutan palsu
- Risikan PERKESO menyelamatkan dana berjumlah RM3.78 juta
- PERKESO dan SPRM membongkar sindiket pemalsuan tuntutan Faedah Pencen Ilat, menyekat kerugian RM3.78 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

