Cunha berdepan siasatan FA susulan sambutan gol kontroversi di Emirates

Cunha (tengah) berdepan kemungkinan dikenakan tindakan oleh FA susulan sambutan jaringannya ketika membantu Manchester United menewaskan Arsenal di Stadium Emirates. - FOTO: Agensi
Cunha (tengah) berdepan kemungkinan dikenakan tindakan oleh FA susulan sambutan jaringannya ketika membantu Manchester United menewaskan Arsenal di Stadium Emirates. - FOTO: Agensi
A
A
A

PENYERANG Manchester United, Matheus Cunha berisiko dikenakan tindakan disiplin oleh Persatuan Bolasepak England (FA) susulan sambutan golnya yang mencetuskan kontroversi ketika kemenangan dramatik 3-2 ke atas Arsenal di Stadium Emirates.

Cunha menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-87 sebelum meraikannya dengan menghadap kamera tepi padang, disertai ungkapan berbaur kesat yang memaksa penyiar rasmi, Sky Sports membuat permohonan maaf secara langsung.

Mengikut peraturan FA, pemain boleh dikenakan hukuman sekiranya didapati menggunakan bahasa yang bersifat menghina, kesat atau tidak sopan, sama ada di atas padang atau ketika sambutan jaringan.

Insiden itu mengingatkan kepada kes legenda United, Wayne Rooney yang digantung dua perlawanan pada April 2011 selepas menggunakan kata-kata kesat ke arah kamera ketika menjaringkan gol menentang West Ham.

Hukuman itu menyaksikan Rooney terlepas dua aksi penting domestik pada musim berkenaan.

Cunha, 26, dimasukkan sebagai pemain gantian dan sekali lagi memberi impak besar buat United, hanya lapan hari selepas menyumbang bantuan gol penentu dalam derbi Manchester.

Persembahannya di Emirates mengukuhkan peranannya sebagai pemain penting dalam perancangan pasukan ketika ini.

Ketua jurulatih United, Michael Carrick tidak diajukan soalan berkaitan sambutan gol Cunha, namun memuji sikap profesional pemain itu walaupun memulakan perlawanan di bangku simpanan buat kali kedua berturut-turut.

“Matheus kecewa kerana tidak diturunkan dalam kesebelasan utama, tetapi dia memberi reaksi yang sangat positif. Dua detik penting daripadanya dan gol kemenangan itu hasil komitmen tinggi sepanjang minggu,” kata Carrick.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu mengekalkan rekod tanpa kalah Carrick dalam dua tempoh kendaliannya bersama United, selain mengulangi kejayaan 3-2 ke atas Arsenal empat tahun lalu.

Keputusan tersebut turut melonjakkan United ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL).

Carrick yang masih terikat kontrak hingga akhir musim enggan mengulas lanjut mengenai masa depannya sebagai pengendali tetap, sebaliknya memilih untuk terus memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya.

FA memaklumkan pihaknya telah dimaklumkan mengenai insiden sambutan gol berkenaan dan sedang meneliti laporan penuh.

Sekiranya Cunha dikenakan hukuman dua perlawanan, dia berkemungkinan terlepas aksi liga menentang Fulham dan Tottenham di Old Trafford.

Ringkasan AI

  • Matheus Cunha berisiko dikenakan tindakan disiplin oleh FA susulan sambutan golnya yang mencetuskan kontroversi
  • Cunha menjaringkan gol kemenangan dalam kemenangan 3-2 ke atas Arsenal dan meraikannya dengan ungkapan berbaur kesat
  • Peraturan FA menyatakan pemain boleh dihukum jika menggunakan bahasa menghina, kesat atau tidak sopan
  • Insiden ini mengingatkan kepada kes Wayne Rooney yang digantung dua perlawanan pada 2011 kerana kata-kata kesat
  • Sekiranya Cunha dihukum dua perlawanan, dia mungkin terlepas aksi liga menentang Fulham dan Tottenham

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!