Iran beri amaran AS, Israel jangan 'salah perhitungan' atau bakal hancur
TEHERAN – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel serta pihak yang disifatkan sebagai 'ejen bergaya Daesh' agar tidak melakukan sebarang salah perhitungan, sambil menegaskan bahawa sebarang ancaman akan dibalas dengan tindakan tegas dan menghancurkan.
Ketua Komander IRGC, Mejar Jeneral Mohammad Pakpour berkata, pasukan itu berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk menggagalkan apa yang disifatkannya sebagai 'rancangan khayalan' yang dirancang oleh Rumah Putih dan Tel Aviv.
Menurut beliau, pihak yang terlibat dalam ketegangan dan rusuhan terkini di Iran bertindak sebagai ejen upahan asing yang beroperasi di bawah arahan kuasa luar.
“IRGC yang kuat dan mendapat sokongan rakyat berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum untuk memberikan tindak balas muktamad terhadap sebarang salah perhitungan musuh serta ejen dalaman mereka yang bergaya Daesh,” katanya dalam satu kenyataan rasmi pada Rabu.
Pakpour menegaskan bahawa dengan kebergantungan kepada Tuhan Yang Maha Esa, kepimpinan tertinggi negara serta perpaduan rakyat Iran, segala perancangan yang disusun oleh pemerintah di Washington dan Tel Aviv akan digagalkan.
Dalam kenyataan sama, beliau secara terbuka menuding jari kepada Presiden AS, Donald Trump, dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai dalang utama keganasan dan pertumpahan darah yang berlaku baru-baru ini.
“Trump dan Netanyahu merupakan pembunuh generasi muda Iran dan bertanggungjawab terhadap keselamatan negara,” katanya, sambil menyifatkan Trump sebagai 'penjenayah berjudi' dan 'Firaun zaman moden', manakala Netanyahu dilabel sebagai 'pembunuh kanak-kanak'.
Menurut Pakpour, jenayah yang disifatkan sebagai kejam itu tidak akan dilupakan dan akan menerima pembalasan pada waktu yang dianggap sesuai.
Beliau turut memuji perhimpunan besar-besaran rakyat Iran di seluruh negara pada 12 Januari lalu, yang menurutnya mencerminkan kebijaksanaan, keberanian dan solidariti rakyat bersama anggota keselamatan yang terkorban.
Katanya, kehadiran rakyat dalam upacara pengebumian menunjukkan maruah negara yang tidak tergugat serta penolakan tegas terhadap tekanan luar dan keganasan tajaan negara asing.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, beberapa bandar di Iran dilanda rusuhan yang didakwa didalangi pihak asing, mengakibatkan kerosakan harta awam serta korban dalam kalangan pasukan keselamatan dan orang awam.
Pihak polis Iran memaklumkan mereka telah bertindak dengan penuh kawalan dan berusaha membezakan antara rakyat biasa yang terkesan dengan tekanan kos sara hidup dan pihak yang melakukan keganasan terhadap pasukan keselamatan.
Dalam pada itu, Presiden AS, Donald Trump, berulang kali mengeluarkan ancaman untuk menyerang Iran sekiranya pihak berkuasa negara itu menggunakan kekerasan terhadap apa yang beliau sifatkan sebagai 'penunjuk perasaan aman'. - Agensi
Ringkasan AI
- Kor Pengawal Revolusi Islam Iran memberi amaran keras kepada AS dan Israel untuk tidak melakukan salah perhitungan
- Ketua Komander IRGC mengumumkan pasukan berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi
- Pihak yang terlibat dalam ketegangan di Iran adalah ejen upahan asing
- IRGC mendapat sokongan rakyat dan bersiap sedia memberi respons muktamad terhadap ancaman
- Trump dan Netanyahu dituduh sebagai pembunuh generasi muda Iran dan bertanggungjawab atas keganasan baru-baru ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

