'Tiada kesalahan akses alasan penghakiman' - Peguam

Tangkap layar laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Alif (atas) dan Cheng Leong.
Tangkap layar laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Alif (atas) dan Cheng Leong.
A
A
A

SHAH ALAM - Alasan penghakiman yang merupakan dokumen awam sememangnya boleh diakses, dibaca dan disebarkan oleh orang ramai di media sosial.

Peguam Jenayah, Alif Tarmizi berpandangan, tiada masalah jika sesiapa sahaja ingin mengakses kandungan dokumen tersebut memandangkan kes sudah dijatuhi hukuman.

Bagaimanapun, menurut beliau, ia bukan alasan untuk warga maya dibenar membuat fitnah, memuat naik komen jelik dan mengapi-apikan isu di platform media sosial.

"Setakat semakan saya, tiada kesalahan kerana ia dikira dokumen awam, yang tak boleh kalau sesuatu kes sedang berjalan.

"Boleh dibaca dan disebarkan, tetapi jangan komen melampaui had takut jadi fitnah sehingga boleh diambil tindakan jenayah serta sivil terhadap individu yang mengulas keterlaluan isu ini pula.

"Contohnya, seseorang itu tiba-tiba mengada-adakan cerita kononnya nak 'spill the tea' ataupun ada yang terlampau mengecam ahli keluarga yang tak terlibat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas dokumen setebal 77 muka surat iaitu alasan penghakiman kes rogol membabitkan pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, tular di media sosial susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkannya dipenjarakan serta-merta, Jumaat lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati dokumen berkenaan tersebar menerusi pelbagai platform media sosial termasuk Threads, X dan Facebook sejurus mahkamah mengekalkan sabitan kes terhadap tertuduh.

Peguam Hak Intelek dan Siber, Foong Cheng Leong pula berkata, tiada sebarang sekatan terhadap orang awam untuk menyebarkan alasan penghakiman kes Da'i Syed.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, mangsa yang didedahkan segala butiran peribadinya dalam alasan penghakiman tidak mempunyai hak khusus untuk menghalang pihak lain daripada menyebarkan maklumat mengenainya.

Tambahnya lagi, mangsa juga kebiasaannya tidak dapat mengarahkan pihak media dan platform sosial untuk memadamkan maklumatnya kerana 'hak untuk dilupakan' belum diiktiraf dalam undang-undang di negara ini secara khusus.

"Bagaimanapun, mahkamah sentiasa mempunyai budi bicara untuk mengeluarkan satu perintah larangan bagi menghentikan penyebaran identiti mangsa.

"Permohonan boleh dibuat oleh pihak pendakwaan atau mangsa sendiri, walaupun saya tidak pernah melihat mana-mana mangsa pernah berbuat demikian," ujarnya.

Kata Cheng Leong, tiada peruntukan undang-undang yang mampu menyekat pendedahan maklumat dalam dokumen alasan penghakiman kecuali terdapat perintah atau larangan khusus daripada mahkamah, lebih-lebih lagi kes melibatkan pesalah kanak-kanak dan saksi kanak-kanak.

Namun, dakwanya, arahan sedemikian kadangkala tidak dipatuhi secara menyeluruh.

"Biasanya mahkamah takkan terbitkan identiti mangsa rogol mahupun tertuduh (kategori kanak-kanak). Tetapi, adakala mahkamah terlepas pandang.

"Keadaan ini mungkin berlaku kerana barisan Hakim sendiri tidak menyedari penghakiman tersebut diterbitkan tanpa sebarang penyuntingan atau penyamaran maklumat," jelasnya lagi.

Ringkasan AI

  • Alasan penghakiman adalah dokumen awam yang boleh diakses dan disebarkan di media sosial
  • Penghakiman boleh dibaca dan disebarkan tetapi tidak boleh membuat fitnah atau memuat naik komen jelik
  • Tiada sekatan untuk menyebarkan alasan penghakiman kes namun harus berhati-hati dengan komen yang melampaui batas
  • Mangsa tidak memiliki hak untuk menghalang penyebaran informasi tentang dirinya dalam dokumen penghakiman
  • Mahkamah boleh mengeluarkan perintah larangan untuk menghentikan penyebaran identiti mangsa jika dimohon

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!