Nekad lawan arus, aksi rempit di DUKE dipatahkan

KUALA LUMPUR – Sanggup melawan arus semata-mata mahu mengelak ditahan antara tindakan nekad beberapa penunggang motosikal ketika operasi bersepadu dijalankan di Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE) pada awal pagi Ahad.
Lokasi yang pada awalnya dijadikan litar bagi menguji kehebatan ‘jentera’ yang ditunggang itu mula meriah dengan kehadiran ratusan penunggang motosikal seawal jam 1 pagi.
Bunyi bingit deruman ekzos turut kedengaran memecah kesunyian lokasi yang mulanya lengang dan hanya dilalui beberapa buah kenderaan.
Keadaan bertambah rancak apabila beberapa penunggang motosikal dilihat mula berlumba selain melakukan pelbagai aksi berbahaya antaranya zig-zag, superman dan wheelie.
Sinar Harian yang menjalankan tinjauan mendapati keasyikan beberapa penunggang motosikal melakukan pelbagai aksi itu terganggu apabila kehadiran pihak polis yang menjalankan ‘pukat’ mula disedari mereka.
Pelbagai cubaan dilakukan untuk melarikan diri termasuk melawan arus selain cuba melalui lorong-lorong tikus yang terdapat di beberapa susur keluar di lokasi terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, operasi bersepadu itu melibatkan kekuatan keseluruhan seramai 174 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa.
Menurutnya, ia membabitkan 116 anggota JSPT Kuala Lumpur terdiri daripada 10 pegawai kanan polis dan 106 anggota, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) seramai 14 anggota, Konsesi Lebuhraya DUKE (26 anggota) serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPD Sentul dan JPJKK IPD Wangsa Maju masing-masing 12 dan enam anggota.
"Operasi dilaksanakan melibatkan dua fasa iaitu fasa pertama membabitkan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Ipoh hala Chow Kit, Jalan Ipoh hala Sentul serta Jalan Tuanku Abdul Rahman.
"Fasa kedua pula melibatkan sekitar Daerah Sentul termasuk Lebuhraya DUKE," katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi pada Ahad.

Beliau berkata, operasi melibatkan pemeriksaan antara 400 hingga 450 buah motosikal.
"Sebanyak 83 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan, selain enam tangkapan dibuat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Dalam pada itu, sebanyak 343 saman dikeluarkan termasuk bagi kesalahan tiada lesen memandu dan kesalahan lalu lintas lain," katanya.
Sementara itu, Mohd Zamzuri berkata, AADK turut menjalankan saringan ujian air kencing terhadap penunggang motosikal yang menunggang secara mencurigakan dan berbahaya.
"Hasil saringan mendapati seorang penunggang motosikal positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati kebanyakan motosikal yang ditahan telah diubah suai secara melampau.
"Antara yang dikesan melibatkan penggunaan tayar sotong, sistem brek tidak berfungsi serta ekzos yang diubah suai seperti ekzos buluh yang menghasilkan bunyi bising.
"Kita percaya gangguan bunyi yang sebelum ini diadukan oleh penduduk sekitar kawasan ini dipercayai berpunca daripada pengubahsuaian ekzos, selain aktiviti merempit yang dijalankan di lokasi berkenaan,” katanya.
Ringkasan AI
- Penunggang motosikal melawan arus untuk mengelak ditahan dalam operasi bersepadu di Lebuhraya DUKE
- Lokasi menjadi tumpuan ratusan penunggang sejak jam 1 pagi untuk menguji kehebatan motosikal
- Penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya termasuk zig zag, superman dan wheelie
- Operasi bersepadu melibatkan 174 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi penguat kuasa
- Sejumlah 83 motosikal disita atas pelbagai kesalahan dengan 343 saman dikeluarkan, satu penunggang positif dadah jenis methamphetamine
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

