Penunggang motosikal cedera langgar kuda berkeliaran

HULU SELANGOR – Perjalanan seorang wanita ke tempat kerja bertukar menjadi tragedi apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor kuda yang berkeliaran di Jalan Batang Kali–Genting Highlands di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun yang bekerja sebagai penyelia tukang cuci mengalami kecederaan pada kedua-dua belah kaki selepas melanggar haiwan berkenaan di salah satu selekoh jalan tersebut.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor pada jam 9.50 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Batang Kali menuju ke Genting Highlands sebelum kejadian berlaku.
"Apabila tiba di salah satu selekoh Jalan Batang Kali–Genting Highlands, mangsa terlanggar seekor kuda yang berada di atas jalan bersama sekumpulan kuda lain.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan pada kaki kanan serta kiri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Seekor kuda disahkan mati di lokasi kejadian dan telah ditanam oleh orang awam," katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Peraturan 33(1) LN 166/59 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nurul Anati Zulkifli di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Ringkasan AI
- Wanita merempuh kuda di Jalan Batang Kali–Genting Highlands semasa perjalanan ke tempat kerja
- Mangsa berusia 47 tahun mengalami kecederaan pada kedua-dua kaki
- Mangsa sedang dalam perjalanan dari Batang Kali menuju ke Genting Highlands
- Seekor kuda mati di lokasi kejadian dan telah ditanam oleh orang awam
- Kes disiasat di bawah Peraturan 33(1) LN 166/59, orang ramai diminta tampil membantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

