Scammer tiru nombor telco, agensi kerajaan

Antara peralatan yang digunakan dalam aktiviti penipuan dirampas polis. Gambar kecil: Rusdi
Antara peralatan yang digunakan dalam aktiviti penipuan dirampas polis. Gambar kecil: Rusdi
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket penipuan panggilan atau phone scam dikesan menggunakan teknik Caller ID Spoofing bagi memaparkan nombor seolah-olah daripada rangkaian telco tempatan atau agensi sah di Malaysia.

Taktik ini digunakan semata-mata untuk memperdaya mangsa dan meningkatkan tahap kepercayaan terhadap panggilan diterima.

Itu antara helah dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berdasarkan statistik kes direkodkan.

Tahun lalu, sejumlah 5,097 kertas siasatan kes penipuan phone scam dibuka dengan jumlah kerugian direkodkan melebihi RM241 juta.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, dalam era globalisasi kini, penggunaan teknologi dan internet menjadi sebahagian keperluan harian masyarakat.

Menurutnya, ia turut membuka ruang kepada pelbagai bentuk jenayah siber termasuk penipuan melalui panggilan telefon.

Sidang akhbar PDRM memaparkan kejayaan menumpaskan sindiket penipuan panggilan. Foto JSJK
Sidang akhbar PDRM memaparkan kejayaan menumpaskan sindiket penipuan panggilan. Foto JSJK

“Modus operandi melibatkan panggilan daripada suspek menyamar sebagai wakil agensi penguat kuasa seperti polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Selain institusi kewangan (bank dan insurans) atau agensi kerajaan antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Rusdi berkata, mangsa kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai berkuasa dan dimaklumkan akaun bank mereka terlibat dalam aktiviti haram seperti pengubahan wang haram, dadah atau hutang cukai.

“Mangsa diugut tidak memaklumkan perkara tersebut kepada pihak lain dan akhirnya menyedari ditipu selepas mendapati wang dalam akaun hilang selain gagal menghubungi semula suspek,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menurut Rusdi, terdapat kes yang mana sindiket penipuan terbabit menggunakan teknik Caller ID Spoofing.

Namun, jelas beliau, keadaan itu tidak melibatkan pencerobohan atau penggodaman sistem rangkaian telco negara.

“Setakat ini, tiada laporan rasmi atau maklumat menunjukkan penglibatan ‘orang dalam’ syarikat telekomunikasi bersama sindiket,” ujarnya.

Beliau berkata, sindiket beroperasi menggunakan teknologi panggilan tertentu termasuk platform luar negara yang membolehkan paparan nombor dimanipulasi tanpa kebenaran pemilik sebenar.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai mana-mana panggilan meminta maklumat peribadi, kewangan atau arahan pembayaran.

“Pengesahan hendaklah dibuat terus dengan agensi atau institusi berkaitan melalui saluran rasmi,” ujarnya.

Dedahnya, sepanjang tahun lalu, seramai 1,504 individu ditangkap bagi membantu siasatan dan pendakwaan.

Tambahnya, JSJK akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama syarikat telekomunikasi dan agensi berkaitan bagi mengesan, menyekat serta mengambil tindakan tegas terhadap sindiket penipuan ini demi melindungi kepentingan awam.

“Nombor telefon dikenal pasti digunakan sindiket penipuan akan dikemukakan kepada MCMC untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai turut digalakkan menyemak nombor telefon, akaun bank dan nama syarikat yang mencurigakan melalui portal rasmi semakmule.rmp.gov.my,” katanya.

Kesedaran awam membimbangkan

Menurut Rusdi, tahap kesedaran awam terhadap jenayah siber di negara ini masih membimbangkan.

Ujar Rusdi, orang ramai mudah tertipu akibat kekurangan pengetahuan dan kecuaian mengurus maklumat peribadi.

“JSJK sentiasa proaktif melaksanakan program kesedaran seperti kempen pencegahan jenayah, ceramah, pameran, sesi ‘meet & greet’ dan hebahan melalui pelbagai platform media.

“Selain itu, portal SemakMule turut dibangunkan untuk membolehkan orang ramai menyemak akaun bank, nombor telefon atau nama syarikat mungkin terlibat dalam jenayah penipuan,” katanya.

Rusdi berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 14,593 aktiviti pencegahan jenayah siber dilaksanakan meliputi pameran, ceramah, siaran media, sembang santai dan program high profile policing.

Jelas beliau, mesej utama kempen menekankan kepentingan membuat semakan dan pengesahan maklumat sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan atau komunikasi digital.

“PDRM tidak berkompromi terhadap pihak yang terlibat dalam jenayah penipuan.

“Orang ramai diingatkan tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak ketiga.

“Kesalahan berkaitan boleh disiasat mengikut Seksyen 420/424A/424B/ 424C Kanun Keseksaan dan Akta Jenayah Komputer 1997,” ujarnya.

Tegas Rusdi, pihaknya bersama MCMC serta Bank Negara Malaysia (BNM) terus bekerjasama dalam usaha membanteras jenayah siber demi melindungi keselamatan kewangan rakyat.

Ringkasan AI

  • Sindiket penipuan panggilan menggunakan teknik Caller ID Spoofing untuk menipu mangsa di Malaysia
  • Polis Diraja Malaysia mendapati sindiket menyamar sebagai wakil agensi penguat kuasa untuk meyakinkan mangsa
  • Tahun lalu, terdapat 5,097 kertas siasatan kes penipuan phone scam dengan kerugian melebihi RM241 juta
  • Orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan melakukan pengesahan dengan agensi atau institusi berkaitan
  • Kesedaran awam terhadap jenayah siber masih rendah, PDRM melakukan program kesedaran dan membangunkan portal SemakMule untuk pencegahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!