Bekas pensyarah berputih mata, wang RM201,000 lesap angkara 'phone scam'

KUANTAN- Bekas pensyarah terpaksa membuat pinjaman peribadi selain menggunakan wang simpanan sendiri untuk diserahkan kepada 'pihak berkuasa' bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang selepas didakwa terlibat dengan kes tuntutan insurans dan pengubahan wang haram.
Wanita berusia 59 tahun itu akur apabila membuat pindahan wang berjumlah RM201,000 ke satu akaun lain atas arahan anggota sindiket 'phone scam' menyamar sebagai pegawai polis dan timbalan pendakwa raya.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa hanya menyedari menjadi mangsa penipuan 'phone scam' itu setelah membuat 10 transaksi bayaran dalam tempoh 9 April hingga 12 Jun lalu.
Menurutnya, kes penipuan ke atas mangsa itu berlaku sejak pada Februari lalu bermula dengan panggilan telefon dari seorang suspek menyamar sebagai pegawai dari sebuah syarikat insurans berkait tuntutan berjumlah RM68,000.
"Mangsa menafikan tentang perkara itu sebelum panggilan disambung kepada pegawai polis dan timbalan pendakwa raya bagi tujuan semakan dan siasatan lanjut.
"Mangsa terus diperdaya kononnya turut dikehendaki kerana disyaki terlibat dengan kes pengubahan wang haram," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Yahaya berkata, mangsa yang panik dan bimbang berdepan tindakan undang-undang diarahkan membuka akaun bank baharu dan memindahkan wang ke akaun yang diberikan kononnya untuk tujuan siasatan.
"Bagi tujuan itu, mangsa terpaksa membuat pinjaman peribadi dan menggunakan wang simpanan sendiri sebelum semua wang itu diserahkan kepada suspek dan dilesapkan," katanya.
Justeru Yahaya menasihatkan orang ramai agar segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan sekiranya menerima panggilan meragukan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Beliau juga meminta masyarakat supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
"Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," ujarnya.
Ringkasan AI
- Bekas pensyarah terpaksa membuat pinjaman dan menggunakan wang simpanan untuk diserahkan kepada sindiket phone scam menyamar sebagai pegawai polis
- Mangsa membuat tranfer wang berjumlah RM201,000 ke akaun lain atas arahan sindiket
- Mangsa menyedari diri menjadi mangsa penipuan selepas membuat 10 transaksi pembayaran dari 9 April hingga 12 Jun
- Penipuan bermula dari Februari dengan panggilan mengenai tuntutan insurans dan kemudian disyaki terlibat pengubahan wang haram
- Ketua Polis Pahang menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan jika menerima panggilan meragukan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

