'Ibu, ayah tak kisah, asalkan saman saya bayar sendiri'

KUALA LUMPUR - 'Ibu dan ayah tak kisah, asalkan saman saya bayar sendiri.'
Itu reaksi seorang remaja ketika ditahan dalam operasi bersepadu samseng jalanan yang dijalankan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), awal pagi Ahad.
Remaja dikenali sebagai Adib itu dikenakan saman setelah didapati melakukan pengubah suaian terhadap ekzos motosikal ditunggangnya.

Remaja berumur 17 tahun itu mendakwa dia bersama rakannya dari tempat kerja di Wangsa Maju sebelum berkumpul di lokasi terbabit untuk menguji ekzos yang baru ditukarnya.
"Sebenarnya ini kali ketiga saya disaman. Ibu dan ayah tak kisah, janji saya sendiri yang bayar, sebab itu saya buat kerja sambilan.
"Saya datang sini nak uji ekzos yang baru ditukar, nak tunjuk dekat kawan-kawan, mungkin nasib tak baik kena tahan pula," katanya ketika ditemui di lokasi operasi pada Ahad.

Sementara itu, seorang lagi penunggang berkata, dia datang untuk menguji kelajuan motosikalnya.
Remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Azrin, 16, berkata, dia sebenarnya tidak berniat mahu berlumba sebaliknya sekadar untuk mempamerkan kehebatan motosikal ditunggangnya.
"Saya bukan nak berlumba sangat, tapi datang sebab nak uji sama ada motosikal ini laju atau tidak, kebetulan ada yang mengacah, jadi saya sahut cabaran itu.
"Kebetulan ada ubah suai sikit motosikal ini. Sebenarnya motosikal ini ayah punya, tapi ayah dah beli baru, jadi motosikal yang ini dia beri kepada saya," katanya.
Namun jelasnya, dia bimbang untuk memaklumkan kepada ayahnya bahawa dia ditahan dalam operasi itu.
"Ayah memang seorang yang sangat garang, saya tak tahu macam mana nak beritahu yang saya kena tahan.
"Jujur rasa menyesal pula, kalaulah saya tak keluar malam ini dan berlumba, tentu saya tak kena tahan," katanya.
Operasi bersepadu dijalankan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur itu melibatkan pemeriksaan antara 400 hingga 450 buah motosikal.
Operasi dijalankan sekitar jam 12 tengah malam itu turut melibatkan sitaan sebanyak 83 motosikal atas pelbagai kesalahan selain enam tangkapan dibuat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Selain itu, operasi sama turut mengeluarkan sebanyak 343 saman melibatkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan kesalahan lalu lintas lain.
Ringkasan AI
- Remaja ditahan dalam operasi bersepadu samseng jalanan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang kerana ubah suai ekzos motosikal
- Dikenakan saman dan mendakwa melakukan kerja sambilan untuk membayar saman
- Menguji ekzos baru di lokasi dengan kawan-kawan dari tempat kerja
- Seorang lagi remaja, ingin menguji kelajuan motosikal tanpa niat berlumba
- Operasi menghasilkan sitaan 83 motosikal dan 343 saman atas pelbagai kesalahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

