Polis serbu dua banglo di Pulau Pinang, bongkar sindiket 'phone scam'

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket 'phone scam' yang menyasarkan mangsa di Jepun selepas menahan 18 individu dalam serbuan di dua buah banglo di kawasan Simpang Ampat, pada 20 November lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, tangkapan melibatkan 13 lelaki dan seorang wanita warga Jepun serta empat lelaki warga China berusia antara 25 hingga 51 tahun.
Menurutnya, semua suspek mengaku bekerja sebagai operator pusat panggilan (call centre) sejak tiga bulan lalu dengan menerima gaji antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.
"Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan aplikasi Telegram untuk mendapatkan maklumat mangsa sebelum menyamar sebagai polis Jepun.
"Mereka kemudian menggunakan aplikasi Go (Japan) bagi menguruskan transaksi kewangan bagi memperdaya mangsa di negara Jepun," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Azizee berkata, dalam serbuan pertama, polis merampas 24 telefon bimbit pelbagai jenama,lapan tablet iPad, lima unit numeric keypad, dua buah walkie talkie, 11 set skrip penipuan dalam bahasa Jepun dan satu papan putih jadual tugas dalam bahasa Jepun.
Katanya, dalam serbuan kedua pula membawa kepada rampasan tiga unit komputer riba, 25 telefon bimbit, lima tablet iPad, dua buah walkie talkie, 14 set skrip penipuan dalam bahasa Jepun, dua kunci rumah dan tiga alat kawalan pintu pagar.
Beliau berkata, kesemua 18 suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Dalam pada itu, Azizee turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon atau pesanan ringkas daripada individu tidak dikenali.
"Jangan melayan dan tamatkan panggilan segera. Rujuk pihak berkuasa terdekat untuk kesahihan maklumat," katanya lagi.
Ringkasan AI
- Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket 'phone scam' yang menyasarkan mangsa di Jepun dengan menahan 18 individu
- Tangkapan melibatkan 13 lelaki dan seorang wanita warga Jepun serta empat lelaki warga China
- Semua suspek mengaku bekerja sebagai operator pusat panggilan sejak tiga bulan lalu dengan gaji antara RM5,000 hingga RM8,000
- Modus operandi menggunakan aplikasi Telegram untuk mendapatkan maklumat mangsa sebelum menyamar sebagai polis Jepun dan menguruskan transaksi kewangan menggunakan aplikasi Go (Japan)
- Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

