Makin ramai tentera Israel alami gangguan jiwa

JURUSALEM - Israel kini menghadapi peningkatan dramatik dalam kes Gangguan Tekanan Pasca Trauma dan akhiri nyawa dalam kalangan tentera susulan konflik yang berterusan di Gaza, Lubnan dan ketegangan terkini dengan Iran.
Laporan terkini daripada Kementerian Pertahanan Israel dan penyedia kesihatan menyorot krisis kesihatan mental dalam kalangan anggota tentera negara itu, dua tahun selepas peperangan dengan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Konflik Gaza berkembang dengan pantas, termasuk tembakan silang antara Israel dan Hizbulah di Lubnan.
Ribuan tentera dan simpanan dikerahkan, mencatat salah satu operasi ketenteraan terbesar dalam sejarah Israel.
Sejak permulaan perang, lebih 71,000 rakyat Palestin di Gaza dan 4,400 di selatan Lubnan terkorban, manakala Israel melaporkan lebih 1,100 anggota tentera terbunuh.
“Perang ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, tetapi juga mental tentera kami,” kata seorang pegawai Kementerian Pertahanan.
Kajian menunjukkan hampir 40 peratus tentera yang sedang menerima rawatan kini mengalami Gangguan Tekanan Pasca Trauma, dan angka ini dijangka meningkat sehingga 180 peratus menjelang 2028.
Pakar psikologi klinikal, Dr Ronen Sidi menjelaskan bahawa trauma tentera Israel datang dari dua sumber utama iaitu ketakutan melampau menghadapi kematian, serta kesan moral akibat kematian orang awam ketika operasi.
“Banyak keputusan dibuat dalam sekelip mata ketika berdepan tembakan, tetapi kadang-kala wanita dan kanak-kanak cedera atau terbunuh secara tidak sengaja. Perasaan bersalah itu sangat sukar ditanggung,” katanya.
Selain itu, laporan Parlimen Israel mendapati 279 kes cubaan mengakhiri nyawa berlaku antara Januari 2024 hingga Julai 2025, dengan tentera tempur membentuk 78 peratus kes tersebut.
Kementerian Pertahanan telah menambah bajet dan rawatan alternatif untuk membantu tentera menangani tekanan mental.
Konflik berterusan, dengan tentera Israel masih berada di bahagian Gaza dan selatan Lubnan, serta operasi di Syria sejak kejatuhan Bashar al-Assad dan ketegangan meningkat dengan Iran, menjadikan risiko konfrontasi bersenjata di rantau itu terus tinggi.
Laporan ini memaparkan kesan mendalam peperangan ke atas kesihatan mental tentera Israel dan rakyat Palestin, dengan jutaan orang kini menghadapi krisis psikologi akibat perang yang tidak kunjung reda. -Agensi
Ringkasan AI
- Israel menghadapi peningkatan kes Gangguan Tekanan Pasca Trauma dalam kalangan tenteranya susulan konflik di Gaza, Lubnan dan ketegangan dengan Iran
- Konflik Gaza dan pertempuran dengan Hizbulah di Lubnan menyebabkan penugasan ribuan tentera dan simpanan Israel
- Lebih 71,000 rakyat Palestin dan 1,100 anggota tentera Israel terbunuh sejak permulaan perang
- Kajian menunjukkan hampir 40 peratus tentera Israel mengalami Gangguan Tekanan Pasca Trauma, dengan angka dijangka meningkat
- Konflik berterusan di Gaza, selatan Lubnan, dan Syria serta ketegangan dengan Iran meningkatkan risiko konfrontasi bersenjata
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

