'Terima kasih MB tapi RM20,000 setahun memang tak cukup'

Khalil
Khalil
A
A
A

IPOH – Wakil rakyat pembangkang di Perak menghargai pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM20,000 dan peruntukan bulanan RM10,000 daripada kerajaan negeri bagi setiap pejabat pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun mereka menegaskan jumlah tersebut tidak cukup untuk membantu rakyat memerlukan sepanjang tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahaya berkata, walaupun peruntukan RM10,000 sebulan dikekalkan untuk semua ADUN termasuk pembangkang dan kerajaan, realitinya kos sewaan pejabat di kawasan bandar mencecah RM2,000 hingga RM3,000 sebulan menyebabkan baki yang tinggal terlalu kecil untuk membantu kebajikan rakyat.

Menurutnya, walaupun peruntukan itu diberikan sama rata kepada semua ADUN di negeri ini tetapi ada peruntukan lain seperti pemberian program kembali ke sekolah, lembu korban dan sumbangan perayaan tidak lagi diterima pembangkang seperti mana sebelum ini ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Barisan Nasional (BN).

"Kami ucap terima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Tetapi RM20,000 untuk setahun memang tidak cukup, malah tidak sampai tiga bulan sudah habis digunakan.

"Kalau betul mahu menuju ke agenda ‘Perak Sejahtera 2030’, pembangkang tidak sepatutnya dikongkong dan dipinggirkan. RM20,000 yang diulang-ulang sebut ini bukan pembaharuan, sebaliknya memperlihatkan ketidakseimbangan dalam membantu rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Khalil mendakwa, BKK berjumlah RM20,000 yang diberikan pada awal Januari hanya bersifat simbolik dan tidak sepadan dengan keperluan sebenar rakyat di kawasan DUN yang mempunyai lebih 30,000 penduduk, termasuk ribuan golongan asnaf.

Beliau turut membandingkan situasi semasa dengan tempoh pentadbiran kerajaan terdahulu, apabila bantuan seperti program Back to School, bantuan perayaan dan sumbangan korban diagihkan secara menyeluruh kepada semua ADUN tanpa mengira parti.

“Dulu, bantuan Back to School dan bantuan perayaan seperti Aidilfitri, Deepavali dan Tahun Baharu Cina turut diberikan kepada ADUN pembangkang.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga sumbangan korban, setiap ADUN pernah menerima lima ekor lembu untuk diagihkan. Sekarang, pembangkang hanya menerima seekor lembu. Itu pun selepas berulang kali memohon,” katanya.

Khalil turut mempersoalkan keadilan dalam agihan peruntukan pembangunan apabila permohonan yang dihantar melalui saluran rasmi tidak diluluskan.

Katanya, ia berbeza dengan amalan sebelum ini yang membolehkan semua ADUN mengakses peruntukan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

“Enam permohonan saya hantar kepada Pegawai Khas MB, satu pun tidak diluluskan. Keadaan ini turut dialami ADUN pembangkang lain.

"Ini membuktikan pembangkang terus dinafikan hak yang sepatutnya diterima,” katanya yang merupakan Ketua Penerangan Pas Perak.

Beliau menambah, baki peruntukan bulanan selepas kos pejabat hanya mampu membeli keperluan asas seperti beras dalam jumlah yang sangat terhad.

Menurutnya, pusat khidmat menerima puluhan permohonan bantuan setiap hari, selain keperluan ziarah, kenduri, bantuan persekolahan dan sumbangan musim perayaan.

Jelasnya, disebabkan itu wakil rakyat pembangkang terpaksa mencari dana sumbangan sendiri melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya untuk memenuhi permintaan rakyat.

Pada Khamis, Saarani ketika sidang akhbar selepas Majlis Wacana Eksekutif dan Amanah Tahun Baharu 2026 memaklumkan BKK berjumlah RM20,000 kepada Pusat Khidmat DUN di Perak telah mula disalurkan pada Rabu.

Jelas beliau, bayaran bersamaan dua bulan elauan itu melibatkan 59 pusat khidmat termasuk kawasan pembangkang seperti diumumkan semasa pembentangan Belanjawan Perak 2026 pada November lalu.

Menurutnya, peruntukan itu bagi memastikan pusat khidmat mempunyai dana mencukupi untuk membantu rakyat, sekali gus menepis dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak adil atau menyekat peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Ringkasan AI

  • Wakil rakyat pembangkang di Perak menghargai pemberian Bantuan Khas Kewangan RM20,000 dan peruntukan bulanan RM10,000 dari kerajaan negeri tapi menyatakan jumlah itu tidak cukup untuk membantu rakyat
  • Kos operasi seperti sewa pejabat di kawasan bandar boleh mencecah RM2,000 hingga RM3,000 sebulan mengurangkan baki peruntukan untuk kebajikan rakyat
  • Khalil Yahaya menyatakan BKK RM20,000 bersifat simbolik dan tidak memadai untuk keperluan sebenar rakyat di kawasan DUN dengan populasi lebih 30,000 orang
  • Peruntukan khusus seperti program Back to School, bantuan perayaan, dan sumbangan korban sekarang tidak lagi diterima pembangkang seperti masa pentadbiran sebelumnya
  • Selepas kos operasi, baki peruntukan bulanan hanya cukup untuk membeli keperluan asas dalam jumlah sangat terhad, memaksa wakil rakyat mencari dana tambahan untuk memenuhi permintaan rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!