Perak sasar kutipan hasil RM1.48 bilion tahun ini

IPOH - Kerajaan Perak menyasarkan kutipan hasil negeri mencecah RM1.48 bilion tahun ini, sebagai penanda aras kecekapan, akauntabiliti dan kesungguhan pentadbiran negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sasaran itu mencerminkan keperluan peruntukan yang semakin meningkat bagi memenuhi tuntutan pembangunan dan kebajikan rakyat pada masa hadapan.
Menurutnya, selain memaksimumkan potensi hasil sedia ada, sumber air, hasil bandar dan sektor pelancongan turut dikenal pasti sebagai antara penyumbang baharu kepada pendapatan negeri.
"Proses berkaitan tanah kerajaan, tukar syarat tanah serta kelulusan Exco perlu dipercepat supaya kutipan premium dan cukai dapat dilaksanakan tanpa kelewatan.
"Begitu juga dengan hasil-hasil baru kita. Saya yakin jika ia dapat dilaksanakan dengan betul dan telus, maka sasaran RM1.48 bilion tersebut boleh dicapai, malah mungkin lebih daripada itu kita mampu capai," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2026 bersama Penjawat Awam negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru di sini pada Khamis.
Bagi tahun 2025, sasaran hasil negeri ditetapkan sebanyak RM1.4 bilion, namun kutipan sebenar berjaya mencecah hampir RM1.5 bilion, melepasi sasaran lebih 106 peratus.
Dalam majlis itu, Saarani menggariskan lima fokus utama Kerajaan Negeri Perak bagi tahun 2026 iaitu pengukuhan hasil dan kelestarian ekonomi negeri, penyelesaian aduan rakyat secara tuntas dan transformasi digital termasuk data dan kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan awam.
Turut digariskan ialah menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta pemerkasaan budaya kerja dan keupayaan pentadbiran.
Dalam aspek tadbir urus, Saarani menegaskan integriti dan ketelusan mesti menjadi standard mutlak dalam perkhidmatan awam, bukan lagi nilai tambahan.
Beliau berkata, dalam persekitaran hari ini, kepercayaan rakyat mudah terhakis sekiranya wujud ketirisan, rasuah atau ketidaktelusan, walaupun dasar dan peruntukan yang disediakan adalah baik.
"Setiap keputusan perlu boleh dipertanggungjawabkan, setiap proses mesti telus dan setiap perbelanjaan wajib memberi manfaat jelas kepada rakyat.
"Mentaliti 'yang penting siap atas kertas' atau 'buat dahulu, jawab kemudian' perlu ditinggalkan sepenuhnya," katanya.
Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, sepanjang tahun 2025, lebih 19,000 aduan diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) melibatkan semua peringkat pentadbiran negeri dengan lebih 92 peratus daripadanya berjaya diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
Katanya, pencapaian itu membuktikan sistem penyampaian kerajaan berfungsi dan keupayaan jentera pentadbiran dalam menutup serta menyelesaikan aduan rakyat.
Ringkasan AI
- Kerajaan Perak menyasarkan kutipan hasil negeri mencecah RM1.48 bilion tahun ini
- Sumber air, hasil bandar dan sektor pelancongan dikenal pasti sebagai penyumbang baharu pendapatan negeri
- Proses berkaitan tanah dan kelulusan Exco dipercepat untuk memaksimumkan kutipan premium dan cukai
- Sasaran hasil negeri untuk tahun 2025 telah melebihi sasaran dengan kutipan hampir RM1.5 bilion
- Integriti dan ketelusan dalam perkhidmatan awam dijadikan standard mutlak untuk meningkatkan kepercayaan rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

