Perlu hadap pertuduhan walaupun khidmat ATM 40 tahun

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika ditemui media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Sinar Harian
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika ditemui media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR – Jasa dan tempoh perkhidmatan panjang seseorang individu dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak daripada berdepan proses perundangan, susulan pendakwaan membabitkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihaknya menghargai sumbangan tertuduh yang telah berkhidmat hampir empat dekad dalam bidang pertahanan negara, namun kedudukan itu tidak meletakkan seseorang di atas undang-undang.

"Memang benar beliau telah berkhidmat selama 40 tahun dalam bidang pertahanan negara dan kami menghargainya. 

"Namun, pada ketika ini, beliau merupakan seorang tertuduh dan perlu menghadapi proses perundangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurut Wan Shaharuddin, walaupun kes berkenaan dilihat mempunyai fakta yang jelas, pihak pendakwaan tetap berdepan cabaran tersendiri kerana ia melibatkan jumlah wang yang besar serta aspek pembuktian yang ketat.

"Dalam mana-mana kes, termasuk yang kelihatan mudah, tetap wujud risiko dan halangan. 

"Pihak pendakwaan tidak boleh memberi jaminan sabitan, namun kami akan berusaha sedaya upaya untuk membuktikan pertuduhan,” katanya.

Mengulas isu risiko tertuduh melarikan diri, beliau berkata, dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram yang membawa hukuman berat, kebarangkalian itu tidak boleh diketepikan.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan itu, pihak pendakwaan memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah bagi memastikan kelancaran prosiding,” jelasnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Muhammad Hafizuddeain dan isteri ketiganya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menerima hasil aktiviti haram membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM2.19 juta.

Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa atas empat pertuduhan menerima wang haram berjumlah RM2,122,400 antara Februari 2024 hingga November tahun lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menerima wang haram masing-masing RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank berasingan di Jalan Melaka dan Bukit Damansara di sini, antara 2 Februari 2024 hingga 7 November 2025.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai kesalahan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, isteri ketiga tertuduh, Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Rosli Ahmad atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000.

Wanita itu hadir ke mahkamah menggunakan kerusi roda dipercayai akibat kesakitan di paha kerana menghidap bisul kronik.

Mengikut pertuduhan, Salwani yang didakwa bertindak sebagai pengawal syarikat Wany Venture, menerima wang RM50,000, RM7,000 serta dua lagi transaksi masing-masing RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Damansara Heights, di sini antara 24 November 2024 hingga 25 November 2025.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) akta sama dan dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding membabitkan Muhammad Hafizuddeain, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan jaminan RM300,000 dengan dua penjamin.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Muhammad Hafizuddeain diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin serta tertakluk kepada syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Manakala bagi Salwani, mahkamah membenarkan beliau diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin serta tertakluk kepada syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Ringkasan AI

  • Jasa dan tempoh perkhidmatan panjang seseorang dalam ATM tidak mengelakkan proses perundangan
  • Bekas PTD, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri ketiganya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima hasil aktiviti haram
  • Tertuduh dan isteri dihadapkan atas pertuduhan melibatkan jumlah keseluruhan lebih RM2.19 juta
  • Pihak pendakwaan berdepan cabaran membuktikan pertuduhan walaupun fakta kes jelas
  • Pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah untuk memastikan kelancaran prosiding

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!