Titah tegas Agong warnai minggu pertama sidang Dewan Rakyat

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen. - Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen. - Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peringatan tegas oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim terutama dalam memerangi rasuah bergema pada persidangan Dewan Rakyat minggu ini yang memulakan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 pada Isnin lepas.

Dalam titah yang menyentuh pelbagai aspek kepentingan negara, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa usaha membasmi rasuah tidak boleh mengira pangkat atau kedudukan, sambil mengingatkan semua wakil rakyat, anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam yang terlibat dalam rasuah sebagai "pengkhianat negara”.

"Saya pernah menyebut sebelum ini bahawa saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah dan nampaknya saya telah berjaya menemuinya. Ini hanyalah sekelumit daripada segunung atau the tip of the iceberg, serta termasuk juga yang berada di dalam dewan ini yang akan terus diburu sampai jumpa," demikian antara titah Seri Paduka Baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 pada Isnin lepas.

Titah penuh ketegasan itu turut menekankan bahawa usaha memerangi rasuah haruslah menyeluruh, bukan hanya terhadap penerima, tetapi juga pemberi dan mana-mana pihak yang terlibat, sambil menitahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar bertindak pantas dan adil tanpa terpengaruh oleh pangkat atau kedudukan.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan sentimen 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) demi kestabilan dan keharmonian negara, di samping menegaskan kepentingan memartabatkan bahasa Melayu serta mengingatkan asas pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sultan Ibrahim juga menitahkan supaya ancaman keselamatan digital termasuk deepfake diberikan perhatian selain pengukuhan institusi demokrasi termasuk had dua penggal jawatan Perdana Menteri.

Menyahut seruan itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengambil langkah proaktif dengan mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya menjaga tutur kata dan tidak melampaui batas ketika berbahas selain menegaskan bahawa penggunaan pusat media Parlimen tertakluk kepada tatacara permohonan bagi mengelakkan penyalahgunaan.

Johari turut mengingatkan Ahli Parlimen supaya menumpukan perbahasan kepada perkara utama termasuk Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), sambil memaklumkan bahawa reformasi institusi akan diteruskan dengan penambahan bilangan soalan dan perluasan akses Kamar Khas kepada lebih ramai tetamu.

Setakat ini, sebanyak 41 Ahli Parlimen telah mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong yang bermula pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Minggu pertama persidangan turut menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab beberapa isu penting pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri termasuk pendirian Malaysia yang berhati-hati sebelum memberikan sokongan terhadap cadangan penubuhan Jawatankuasa Keamanan bagi Gaza selagi serangan rejim Zionis Israel belum dihentikan dan bantuan kemanusiaan tidak dijamin.

Anwar berkata isu itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan telah diminta mendapatkan senarai penuh keanggotaan jawatankuasa berkenaan, selain Malaysia turut berbincang dengan pemimpin dunia untuk mendapatkan pandangan.

Dalam isu perdagangan antarabangsa, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai pada 26 Oktober 2025 masih belum dikuatkuasakan kerana kerajaan masih dalam peringkat perundingan dan mahukan jaminan bertulis yang jelas.

Beliau berkata kerajaan mengambil serius kebimbangan berhubung potensi perjanjian itu menjejaskan ruang dasar domestik antaranya subsidi, kawalan strategik sensitif serta dasar berkecuali Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Malaysia mengambil pendirian paling tegas dalam isu Venezuela atas dasar mempertahankan prinsip undang-undang antarabangsa serta menolak sebarang cubaan menakluki Greenland yang bercanggah dengan kedaulatan negara berdaulat, selain menegaskan perlunya kebijaksanaan dalam mengurus hubungan diplomatik termasuk dengan Iran.

Dari sudut ekonomi, beliau memaklumkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengumumkan jumlah perdagangan negara bagi 2025 yang tertinggi dalam sejarah dengan nilai mencecah RM3 trilion, sekali gus mencerminkan daya tahan ekonomi meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 20 hari hingga 3 Mac, manakala Dewan Negara bermula 23 Februari. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan pentingnya memerangi rasuah tanpa mengira pangkat atau kedudukan dalam pernyataan di Dewan Rakyat
  • Peringatan ketat diberikan kepada wakil rakyat dan penjawat awam yang terlibat dalam rasuah sebagai "pengkhianat negara"
  • Sultan Ibrahim menyatakan telah berjaya menemui perasuah dan usaha memburu mereka akan terus dilakukan
  • Seri Paduka Baginda mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar bertindak cepat dan adil dalam memerangi rasuah
  • Yang di-Pertuan Agong juga menekankan pentingnya menjaga stabilitas dan harmoni negara dengan tidak memainkan sentimen 3R (agama, bangsa, dan institusi diraja)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!