UNISEL destinasi pertama Jelajah Suara Rakyat IPTS 2026

Hamdan (lima dari kiri) bersama Rosli (lima dari kanan) dan pegawai serta pelajar UNISEL yang terlibat dalam program minyak petrol percuma. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SYUKUR
Hamdan (lima dari kiri) bersama Rosli (lima dari kanan) dan pegawai serta pelajar UNISEL yang terlibat dalam program minyak petrol percuma. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SYUKUR
A
A
A

SHAH ALAM – Sinar Harian meneruskan komitmen memperkasakan suara belia melalui penganjuran Jelajah Suara Rakyat, dengan menjadikan Universiti Selangor (UNISEL) sebagai lokasi pertama bagi institut pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk sesi tahun 2026.

Program yang menggabungkan elemen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pemerkasaan literasi media ini dijalankan melalui sinergi Sinar Karangkraf.

Dalam program ini Sinar Harian menyediakan minyak petrol percuma kepada 500 mahasiswa serta Sinar Varsity dengan penganjuran podcast khas.

Inisiatif ini sedikit sebanyak membantu pelajar dari segi penjimatan kos sara hidup. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SYUKUR
Inisiatif ini sedikit sebanyak membantu pelajar dari segi penjimatan kos sara hidup. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SYUKUR

Ketua Bahagian Pemasaran dan Komersial Sinar Harian, Rosli Ahmad berkata, program dengan kerjasama UNISEL itu bukan sekadar memberi bantuan minyak petrol percuma, malah menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk mahasiswa.

“Inilah peluang untuk isi minyak percuma dan penuhkan tangki motor masing-masing. RM5 mungkin nampak sedikit, tapi percayalah ia banyak membantu jika anda bergerak sekitar kampus setiap hari.

“Hari ini bukan sekadar isi minyak sahaja. Kami turut menyediakan program podcast, tempat anda boleh berinteraksi terus dengan pihak pentadbir IPT,” ujarnya ketika ditemui di lokasi program di Seksyen 7 di sini pada Khamis.

Program Jelajah Suara Rakyat IPTS ini dijangka menjadi platform penting bagi mahasiswa menyuarakan pandangan, memahami isu semasa dan memperkukuh jaringan dengan pihak universiti serta sektor korporat.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pihak IPT lain, syarikat korporat dan bakal pemimpin mahasiswa juga boleh menyertai siri program berkenaan sepanjang tahun ini.

“Bagi yang ingin bekerjasama atau mempunyai sebarang pertanyaan, boleh hubungi kami di Sinar Harian,” kata Rosli yang turut bersama pelajar dan pihak pengurusan UNISEL sepanjang program berlangsung.

Hamdan (kiri) bersama Rosli (tengah) serta pelajar yang terlibat dalam program pengisian petrol percuma. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SYUKUR
Hamdan (kiri) bersama Rosli (tengah) serta pelajar yang terlibat dalam program pengisian petrol percuma. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SYUKUR

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti (HEP) UNISEL, Prof Madya Dr Hamdan Datuk Mohd Salleh ketika ditemui di lokasi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat.

“Ini kali pertama UNISEL bekerjasama dengan Sinar Harian dan tema ‘Suara Rakyat’ dipilih kerana sangat dekat dengan realiti semasa.

“Ia berkait rapat dengan isu kos sara hidup yang semakin meningkat dan memberi kesan besar, khususnya kepada pelajar institusi pengajian tinggi. Inisiatif ini amat diperlukan.

“Pendekatan ini selari dengan teras pendidikan tinggi yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya dalam usaha memperluaskan pendemokrasian pendidikan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa program sebegini amat signifikan kerana UNISEL bukan sahaja menjadi rakan pelaksana, malah juga rakan strategik kepada Sinar Harian dan Karangkraf.

“Statistik menunjukkan kira-kira 64 peratus pelajar UNISEL terdiri daripada golongan B40,” ujarnya.

Justeru, katanya, usaha ini dijadikan paksi utama bagi membantu anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan dan berpotensi mengubah nasib keluarga mereka.

Pelajar Fakulti Perniagaan, Paavitheran, 23, berkata, program itu membuka ruang kepada pelajar untuk mencadangkan idea, terlibat secara langsung dan memahami operasi syarikat yang terlibat.

Paavitheran
Paavitheran

Ujarnya, inisiatif seperti itu amat dialu-alukan kerana ia menyediakan sokongan sebenar kepada pelajar.

“Sekiranya program seperti penghasilan minyak percuma atau inisiatif berkaitan dapat dilaksanakan secara meluas, ia bukan sahaja menggalakkan penyertaan pelajar, malah turut memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Udhaya Surya, 22, pelajar Fakulti Pengurusan Perniagaan dari Klang Utama pula berkata, bantuan minyak petrol melalui program itu amat bermakna kerana ia mencukupi untuk kegunaan beberapa hari.

Udhaya Surya
Udhaya Surya

“Dengan bantuan ini, saya boleh menggunakan motosikal untuk ulang-alik ke kelas, sekali gus memudahkan urusan pembelajaran.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur yang terus komited melaksanakan program seperti ini demi kebajikan pelajar,” ujarnya.

Nur Irdina Insyirah, 20, pula memberitahu bahawa beliau mengetahui mengenai program minyak percuma itu melalui kumpulan WhatsApp UNISEL pada pagi program yang berlangsung dari jam 9.30 hingga 10.30 pagi.

Nur Irdina Insyirah
Nur Irdina Insyirah

Menurutnya, inisiatif ini amat membantu pelajar dari segi penjimatan kos sara hidup, terutamanya bagi mereka yang menetap di kolej kediaman.

“Saya sendiri hendak pulang ke rumah di Langat dan minyak percuma ini saya telah jimat wang poket.

"Program ini memang sangat membantu perbelanjaan pelajar,” katanya.

Nur Ikma Reza Hairone, 25, pula menyifatkan bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan pelajar.

“Sekurang-kurangnya ia dapat menjimatkan perbelanjaan harian pelajar. Ini kali pertama saya sertai program seperti ini sejak berada di universiti,” ujarnya.

Sebagai platform suara rakyat, Sinar Harian akan meneruskan inisiatif prihatin menerusi program mengisi minyak percuma di mana- mana universiti, bagi meringankan beban pelajar dan memperkasakan golongan belia di peringkat pendidikan tinggi.

Ringkasan AI

  • Sinar Harian memperkasakan suara belia melalui Jelajah Suara Rakyat di UNISEL sebagai IPTS pertama untuk tahun 2026
  • Program gabungan tanggungjawab sosial korporat dan pemerkasaan literasi media ini menyajikan minyak petrol percuma untuk 500 mahasiswa
  • Ketua Bahagian Pemasaran dan Komersial Sinar Harian menyatakan program ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik selain bantuan minyak petrol
  • Inisiatif ini dianggap penting untuk menangani isu kos sara hidup yang meningkat di kalangan pelajar dengan menyediakan platform untuk menyuarakan pendapat dan memahami isu semasa
  • Statistik menunjukkan kira-kira 64 peratus pelajar UNISEL terdiri daripada golongan B40, di mana program ini diharapkan membantu meringankan beban kewangan mereka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!