Sukar perangi rasuah jika golongan elit terima diskaun - Hassan Karim

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membangkitkan persoalan mengenai usaha negara dalam membanteras rasuah apabila mendakwa terdapat golongan elit tertentu yang mendapat ‘diskaun’ ke atas hukuman mereka meskipun disabit bersalah di mahkamah.
Beliau menyuarakan kebimbangan itu ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menzahirkan hasrat supaya budaya rasuah diperangi secara menyeluruh dan tegas di negara ini.
“Kebawah duli Yang di-Pertuan Agong menyatakan amalan rasuah itu mesti diperangi secara besar-besaran. Ini memang seruan yang betul daripada raja kita.
“Kalau baginda tidak bercakap, siapa lagi yang nak bercakap tetapi Tuanku, ampunkan patik bercakap di sini. Bagaimana kita nak perangi secara besar-besaran rasuah ini jika ada elit-elit tertentu dalam negara kita, pemimpin-pemimpin besar di negara kita telah didapati bersalah oleh mahkamah tetapi dibagi diskaun kemudian itu.
“Ini saya tidak kata kesilapan, ‘something wrong’ dalam bahasa Inggeris. Dalam satu segi kita nak pegang habis-habisan, dalam satu segi pula kita lepaskan dengan diskaun,” katanya pada Rabu.
Ujar Hassan, terdapat kes berprofil tinggi yang berakhir dengan keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA), selain ada yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Menurut beliau, situasi itu boleh melemahkan semangat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertungkus-lumus menjalankan siasatan berhubung kes rasuah.
“Di kalangan kita pemimpin besar elit ini, ramai pemimpin negara daripada dulu dan sekarang, kes di mahkamah mendapat DNAA. Tak cukup itu, kemudian dia bagi NFA.
“Jadi kesian, simpati saya kepada pegawai-pegawai SPRM yang gigih menyiasat (berkaitan isu rasuah seperti itu),” ujarnya.
Ringkasan AI
- Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membangkitkan persoalan tentang usaha negara membanteras rasuah yang memberi 'diskaun' pada hukuman elit tertentu
- Beliau menyuarakan kebimbangan ini semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang menghendaki budaya rasuah diperangi secara menyeluruh
- Hassan mempertikaikan bagaimana rasuah dapat diperangi secara besar-besaran jika elit dan pemimpin besar yang disabit bersalah mendapat keringanan hukuman
- Terdapat kes berprofil tinggi yang berakhir dengan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atau diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA)
- Situasi ini boleh melemahkan semangat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan siasatan kes rasuah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

