Kronologi kes skandal rasuah pegawai tertinggi ATM

Hafizuddiean tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sekitar jam 8.10 pagi pada Khamis. FOTO: Rosli Talib
Hafizuddiean tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sekitar jam 8.10 pagi pada Khamis. FOTO: Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya Salwani Anuar pada Khamis didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur dengan empat pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Muhammad Hafizuddeain turut berdepan dengan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Rasuah Shah Alam, Selangor pada Jumaat manakala isterinya akan didakwa dengan satu pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan.

Sementara itu, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Mohd Nizam Jaafar akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini pada Jumaat membabitkan dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, susulan siasatan salah guna kuasa dan siasatan melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT). 

Beliau juga akan menghadapi pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Salwani tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan berkerusi roda sekitar jam 8.20 pagi pada Khamis. FOTO: Rosli Talib
Salwani tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan berkerusi roda sekitar jam 8.20 pagi pada Khamis. FOTO: Rosli Talib

Berikut ialah kronologi melibatkan skandal rasuah pegawai tertinggi ATM:

22 Disember 2025: Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi mendakwa dirinya mempunyai dokumen forensik yang menunjukkan aliran wang bulanan puluhan ribu ringgit ke dalam akaun seorang pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya.

 

23 Disember 2025: SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk menyiasat projek perolehan secara tender terbuka dan perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat sejak 2023.

Artikel Berkaitan:

24 Disember 2025: SPRM merakam keterangan tiga individu dan mempergiatkan siasatan dengan membuat semakan akaun disyaki terbabit rasuah perolehan.

27 Disember 2025: Muhammad Hafizuddeain diarahkan bercuti serta-merta untuk memberikan laluan kepada siasatan tanpa konflik kepentingan.

29 Disember 2025: SPRM menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat Malaysia.

8 Januari 2026: Seorang bekas PTD dan dua isterinya direman bagi membantu siasatan kes rasuah.

10 Januari 2026: SPRM menyita aset mewah bernilai lebih RM2.2 juta susulan penggeledahan di sebuah kediaman di Pantai Timur, dipercayai milik isteri kedua kepada bekas pegawai tertinggi tentera darat.

14 Januari 2026: SPRM mengesahkan penahanan seorang lagi pegawai tertinggi ATM untuk membantu siasatan lanjut kes projek tender perolehan tentera darat.

15 Januari 2026: SPRM menahan dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM berikutan dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di TKAT dan Mindef.

19 Januari 2026: SPRM menyerahkan kertas siasatan membabitkan bekas pegawai tertinggi ATM kepada pendakwa raya.

21 Januari 2026: SPRM mengesahkan telah mendapat izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa dua bekas pegawai tertinggi ATM.

22 Januari 2026: Muhammad Hafizuddeain dan isterinya Salwani Anuar didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur dengan empat pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Bekas Panglima Tentera Darat, Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya didakwa dengan empat pertuduhan pengubahan wang haram
  • Muhammad Hafizuddeain menghadapi dua lagi pertuduhan di Mahkamah Rasuah Shah Alam dan isterinya satu pertuduhan tambahan di Terengganu
  • Bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaafar akan didakwa membabitkan salah guna kuasa dan siasatan TKAT
  • Siasatan SPRM bermula dengan laporan polis pada 22 Disember 2025 tentang aliran wang ke dalam akaun pegawai kanan tentera
  • SPRM menyita aset mewah dan akaun bank milik pegawai kanan Tentera Darat dan ahli keluarga bagi membantu siasatan rasuah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!