Sabri buat 18 tuntutan terhadap Chegubard

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali membuat 18 tuntutan dalam saman fitnah terhadap aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Chegubard.
Ia berhubung dakwaan Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin, 47, yang mengaitkan Sabri dengan isu salah guna kuasa dan rasuah pada Julai 2024 hingga Disember tahun lalu.
Sabri selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Syed Amir Naqib & Co (SANCO) di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, dengan menamakan Badrul Hisham selaku defendan.
Peguam, Muhamad Firdaus Jumaludin yang mewakili plaintif berkata, antara tuntutan tersebut ialah permohonan ganti rugi terhadap Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson itu, di atas kerosakan reputasi anak guamnya ekoran tohmahan serta cemuhan yang dilemparkan.
Bagaimanapun, beliau berkata, buat masa ini jumlah ganti rugi yang diminta tidak dapat dinyatakan.
“Selain itu, kami akan membuat permohonan injunksi supaya semua kenyataan defendan dikeluarkan.
“Anak guam mahu meneruskan saman ini kerana ahli politik itu tidak memberi maklum balas terhadap surat tuntutan supaya menurunkan pernyataan fitnah itu,” katanya ketika sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada Rabu.
Beliau berkata, pernyataan tersebut tidak benar, mengelirukan dan berbaur fitnah.
Muhamad Firdaus berkata, secara keseluruhannya perkara tersebut menyebabkan kerosakan reputasi serius yang tidak boleh dipulihkan melalui penjelasan awam semata-mata, terutama fitnah tersebut ditambah dengan tohmahan liar di ruangan komen.
Menurutnya, kenyataan tidak benar boleh memesongkan persepsi orang ramai terhadap sumbangan Sabri sebagai seorang pegawai.
Dalam sidang media tersebut, Sabri tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguamnya.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa defendan menerbitkan pelbagai kenyataan bertulis, visual dan rakaman video secara berulang di media sosial.
Katanya, defendan menuduh plaintif sebagai seorang pegawai kanan tentera yang kononnya terlibat dalam rasuah, salah guna kuasa, tidak berintegriti serta tidak layak memegang jawatan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau menegaskan, semua tuduhan itu palsu, tidak berasas dan bersifat fitnah, selain dibuat tanpa sebarang keputusan mahkamah, pendakwaan atau pengesahan rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mana-mana pihak berautoriti.
“Defendan sendiri mengakui, dakwaan tersebut bersumberkan dokumen yang diperoleh daripada pihak yang tidak dikenali, malah tanpa sebarang proses pengesahan atau verifikasi yang sah.
“Kenyataan-kenyataan tersebut telah disiarkan secara meluas sehingga menimbulkan persepsi awam bahawa plaintif seorang pegawai yang korup, tidak amanah, serta menjadi ancaman kepada keselamatan dan kepentingan strategik negara,” katanya.
Beliau juga mendakwa, defendan secara terbuka mengakui niatnya untuk menggagalkan pelantikan plaintif sebagai Panglima Tentera Laut, membuktikan bahawa penerbitan tersebut dibuat dengan niat jahat dan bukan kepentingan awam.
Akibat penyiaran fitnah itu, plaintif berkata, reputasi, maruah, kredibiliti profesional serta integritinya terjejas.
Plaintif menuntut pengisytiharan bahawa kenyataan-kenyataan tersebut sebagai fitnah, sekali gus mendapatkan perintah mahkamah supaya, penerbitan lanjut dapat dihentikan.
Beliau memohon ganti rugi yang wajar atas kerosakan reputasi dan penderitaan yang dialami.
Pada 2 Januari lalu, Sabri menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Pada 6 Januari pula, Badrul Hisham menggesa Sabri direhatkan sementara daripada tugas bagi memberi laluan kepada siasatan berhubung dakwaan salah laku yang dikaitkan dengannya.
Ahli politik itu berkata, gesaan itu dibuat bagi memastikan sebarang siasatan dapat dijalankan secara bebas tanpa sebarang persepsi, pengaruh atau gangguan.
Ringkasan AI
- Laksamana Madya Datuk Sabri Zali menyaman aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Chegubard atas dakwaan fitnah
- Tuntutan saman melibatkan 18 perkara termasuk permohonan ganti rugi kerana kerosakan reputasi
- Saman itu bertujuan untuk menghapuskan semua kenyataan fitnah oleh Chegubard di media sosial
- Chegubard dituduh membuat tuduhan palsu tanpa bukti terhadap Sabri berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa
- Sabri meminta mahkamah mengisytiharkan kenyataan Chegubard sebagai fitnah dan melarang penerbitan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

