Isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat didakwa terima wang haram RM77,000

Salwani tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan berkerusi roda jam 8.20 pagi pada Khamis.
Salwani tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan berkerusi roda jam 8.20 pagi pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat (PTD), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000, 2024 dan tahun lalu.

Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

"Faham, saya mengaku tidak bersalah," katanya yang hadir ke mahkamah dengan menggunakan kerusi roda kerana mengalami kesakitan di paha akibat penyakit bisul yang kronik.

Mengikut empat pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai pengawal syarikat Wany Venture, telah menerima hasil aktiviti haram iaitu wang RM50,000, RM7,000 dan dua lagi jumlah masing-masing RM10,000 yang dimasukkan ke akaun bank milik syarikat itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank Damansara Heights, di sini antara 24 November 2024 dan 25 November 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a) akta sama, boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta serupa.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan wanita itu diberi ikat jamin RM30,000 hingga RM50,000 dengan dua penjamin.

Menurutnya, ia termasuk syarat tambahan melaporkan diri sekali setiap bulan di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

“Jumlah yang kami cadangkan tidak bersifat menekan kerana ia melibatkan kesalahan serius dan jaminan ini mencerminkan kesalahan tersebut.

“Pasport tertuduh juga perlu diserahkan kepada mahkamah atas alasan wujud kebarangkalian tertuduh melarikan diri kerana dia menghadapi pertuduhan serius," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili Salwani berkata, anak guamnya sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sejak ditahan reman pada 7 Januari lalu.

“Dia yang berkahwin dengan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan namun belum dikurniakan cahaya mata, turut didakwa atas tuduhan sama hari ini.

“Anak guam merupakan seorang suri rumah dan menjalankan perniagaan secara dalam talian masih dalam tanggungan suaminya, malah dia turut membantu ibu bapa di kampung, di Besut, Terengganu,” katanya.

Susulan itu, beliau memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dengan mengambil kira jumlah keseluruhan kes yang dipertuduhkan sebanyak RM77,000.

Beliau berkata, pembelaan tidak membantah syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Rosli membenarkan Salwani diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin berserta memenuhi syarat tambahan dicadangkan pihak pendakwaan dan menetapkan 30 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah berasingan, Muhammad Hafizuddeain, 58, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Azura Alwi, atas empat kes menerima hasil aktiviti haram mencecah RM2,122,400 pada 2024 hingga tahun lalu.

Pada 15 Januari lalu, SPRM menahan dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikutan dakwaan menerima kes jenayah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan MINDEF.

Ringkasan AI

  • Isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000
  • Wanita tersebut berumur 27 tahun dan hadir ke mahkamah menggunakan kerusi roda
  • Dituduh sebagai pengawal syarikat Wany Venture menerima wang haram yang dimasukkan ke akaun syarikat itu
  • Kesalahan didakwa dilakukan antara 24 November 2024 dan 25 November 2025
  • Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!