Bekas PTD, isteri akan didakwa esok, bekas PAT dituduh Jumaat

KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Hafizuddiean Jantan dan isterinya, Salwani Anuar akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, berhubung kes pengubahan wang haram, pada Khamis.
Berdasarkan kenyataan media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka berdepan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Hafizuddiean turut berdepan kes di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
Salwani pula akan didakwa di bawah peruntukan sama di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin minggu depan.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM turut memperoleh izin daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaafar di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Jumaat, 23 Januari.
Mohd Nizam akan didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan siasatan salah guna kuasa dan siasatan melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).
Beliau juga akan berdepan pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
SPRM turut memaklumkan, siasatan terhadap dua lagi pegawai kanan ATM kini berada di peringkat akhir dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.
Menurut SPRM, Suruhanjaya itu kekal komited untuk memastikan setiap kesalahan rasuah dan salah guna kuasa ditangani secara tegas, telus dan tanpa sebarang kompromi selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

