Bekas PTD didakwa terima wang haram lebih RM2.1 juta

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas empat kes menerima hasil aktiviti haram mencecah RM2,122,400 pada 2024 hingga tahun lalu.
Muhammad Hafizuddeain, 58, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azura Alwi.
"Faham (pertuduhan) puan, saya mohon dibicarakan,” katanya yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju dan berseluar serba hitam.
Dia yang merupakan PTD pertama dituduh atas kes menerima wang haram, kelihatan tenang ketika berada di kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima hasil haram iaitu wang masing-masing RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Kesalahan didakwa dilakukan di dua bank berbeza di Jalan Melaka, Jalan Tun Perak dan Bukit Damansara di sini, antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025. Setiap pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai kesalahan itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin.
"Ia termasuk syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
“Kebarangkalian untuk tertuduh melarikan diri itu ada dan pendakwaan percaya pihak pembelaan tidak boleh menafikan kemungkinan berkenaan.
"Cadangan jaminan yang saya berikan tadi juga sangat munasabah dan tidak menekan kerana kes yang dipertuduhkan amat serius” katanya.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, Farah Yasmin Salleh, Natrah Fareha Rahmat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Maziah Mohaide.
Mohon kadar jaminan dikurangkan
Sementara itu, peguam, Aizul Rohan Anuar yang mewakili tertuduh yang menghantar surat persaraan daripada perkhidmatan tentera bermula 1 Januari lalu, tidak membantah syarat tambahan dicadangkan pendakwaan.
"Bagaimanapun, saya merayu mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM100,000 memandangkan statusnya kini sudah bergelar pesara.
“Kadar yang dicadangkan pendakwaan amat keterlaluan dan saya mohon mahkamah mengambil kira tempoh perkhidmatan anak guam lebih 40 tahun termasuk bertugas di Bosnia selama setahun," katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Muhammad Kausar Mohd Khairi.
Beliau berkata, jasa anak guam dalam bidang ketenteraan wajar diambil kira dalam mengurangkan jumlah jaminan tersebut.
Katanya, isteri Muhammad Hafizuddeain juga menghadapi pertuduhan jadi sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menyediakan wang jaminan tersebut.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azura membenarkan Muhammad Hafizuddeain diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin iaitu RM125,000 bagi setiap seorang dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan pada 30 Mac depan untuk sebutan kes dan serahan dokumen.
Ringkasan AI
- Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, mengaku tidak bersalah atas empat kes menerima hasil aktiviti haram
- Dia didakwa menerima wang haram berjumlah RM2,122,400 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya
- Pertuduhan melibatkan transaksi wang haram antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025 di dua bank di Kuala Lumpur
- Hukuman untuk kesalahan tersebut boleh mencapai penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai kesalahan atau RM5 juta
- Ikat jamin ditetapkan pada RM250,000 dengan dua penjamin selepas permohonan untuk pengurangan jumlah jaminan dari RM300,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

