Polis rampas dadah bernilai RM1 juta, dua lelaki ditahan

Mohd Alwi
Mohd Alwi
A
A
A

GEORGE TOWN- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah apabila merampas 6,155 gram dadah jenis serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai RM1 juta dalam satu operasi di Seberang Perai Tengah pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, dalam operasi yang dijalankan pada jam 2 petang hingga 12 tengah malam itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 33 dan 41 tahun yang dipercayai terlibat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah berkenaan.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, polis telah menahan seorang suspek di kawasan parkir kenderaan di Bukit Mertajam.

"Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan telah membawa kepada penemuan sebuah kotak berwarna coklat yang mengandungi pelbagai bungkusan plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA.

“Di dalam kotak itu mengandungi 243 peket plastik mengandungi 5,611 gram serbuk MDMA," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah, polis turut merampas beberapa bungkusan lain melibatkan peket plastik berwarna merah, kuning merah, merah jambu, biru muda dan putih berlabel ‘LV’ dengan berat keseluruhan rampasan MDMA mencecah 6,155 gram.

"Susulan tangkapan pertama itu, polis turut menahan seorang lagi rakan suspek di kawasan berhampiran bagi membantu siasatan.

"Hasil risikan mendapati sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Oktober tahun lalu dan jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan sehingga 50,000 orang atau 50,000 kali penggunaan," ujarnya.

Mohd Alwi berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis ketamin.

Artikel Berkaitan:

"Semakan lanjut turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

"Mereka kini direman selama tujuh hari bermula 21 Januari hingga 27 Januari ini bagi membantu siasatan," katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

"Kejayaan operasi ini adalah hasil risikan berterusan JSJN serta kerjasama orang awam.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Polis merampas 6,155 gram dadah MDMA bernilai RM1 juta di Seberang Perai Tengah
  • Dua lelaki tempatan berusia 33 dan 41 tahun ditahan kerana terlibat dalam pengedaran dadah
  • Serbuan pertama di kawasan parkir di Bukit Mertajam, penemuan 243 peket plastik mengandungi MDMA
  • Keseluruhan rampasan mencapai 6,155 gram MDMA, pasukan pengedaran aktif sejak Oktober tahun lalu
  • Suspek positif dadah jenis ketamin, disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!