'Masjid At-Taufiqiah Bandar Seri Coalfields sudah tujuh kali banjir'

Keadaan Masjid At-Taufiqiah, Kuala Selangor dilanda banjir pada Rabu.
Keadaan Masjid At-Taufiqiah, Kuala Selangor dilanda banjir pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR – Sudah tujuh kali dilanda banjir sejak 2021, Masjid At-Taufiqiah di Bandar Seri Coalfields sekali lagi terpaksa ditutup sementara selepas ditenggelami air sehingga paras pinggang pada Rabu.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu menyebabkan keseluruhan kawasan masjid termasuk ruang solat lelaki, wanita dan tandas terjejas.

Setiausahanya, Mohd Fazlizan Lot berkata, berdasarkan rekod pihak pengurusan, masjid itu sudah tujuh kali berdepan kejadian banjir sejak banjir besar melanda Selangor pada 2021.

"Masjid ini sudah kali ketujuh dilanda banjir dan boleh dikatakan hampir setiap tahun berlaku.

"Namun, kali ini air naik terlalu tinggi dan cepat sehingga mencecah 0.9 meter di dalam kawasan masjid, manakala di bahagian luar pula 1.2 meter," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ruang solat dilimpahi air sehingga mencecah 0.9 meter.
Ruang solat dilimpahi air sehingga mencecah 0.9 meter.

Menurutnya, kejadian banjir kali ini turut menyebabkan aktiviti pengimarahan masjid termasuk solat berjemaah, kuliah agama dan program malam Jumaat terpaksa dihentikan sementara.

Beliau berkata, penutupan itu turut memberi kesan kepada kira-kira 500 hingga 600 jemaah yang lazimnya menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Artikel Berkaitan:

"Jika masjid masih belum boleh digunakan menjelang Jumaat ini, jemaah akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Desa Coalfields.

"Masjid kami sebelum ini beroperasi 24 jam dan menjadi tempat persinggahan orang ramai, namun buat masa ini semua aktiviti terpaksa dihentikan sehingga kerja pembersihan dan baik pulih selesai," tambah beliau.

Mengulas kerosakan, Mohd Fazlizan berkata, pihaknya belum dapat menganggarkan jumlah kerugian berikutan air masih belum surut sepenuhnya.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman banjir terdahulu, kerugian pernah mencecah kira-kira RM80,000 termasuk kerosakan karpet bernilai RM40,000 serta peralatan elektrik dan kotak sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, pihak pengurusan sempat menyelamatkan kotak elektrik utama serta mengalihkan al-Quran dan sebahagian kelengkapan masjid ke tempat lebih tinggi sebelum air naik.

"Karpet yang sudah digulung diletakkan di atas pelantar juga masih terkena air kerana paras banjir kali ini lebih tinggi daripada jangkaan.

"Kita berharap dapat memulakan kerja pembersihan sebaik air surut sepenuhnya," jelasnya.

Beliau berkata, pihak pengurusan menganggarkan antara 50 hingga 70 sukarelawan diperlukan bagi membantu membersihkan kawasan masjid termasuk menggunakan mesin pancutan air bertekanan tinggi, paip, cat dan peralatan pembersihan lain.

Dalam pada itu, kerja menaik taraf laman masjid yang menggunakan peruntukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut tergendala berikutan kejadian itu.

Mohd Fazlizan berkata, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi tabung bencana masjid atau pindahan dalam talian ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad 12298010026137 (At-Taufiqiah).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!