Dua lelaki ditahan curi kabel penghubung ECRL

Antara barangan yang dirampas hasil tangkapan terhadap dua lelaki di Temerloh pada Rabu. Foto PDRM
Antara barangan yang dirampas hasil tangkapan terhadap dua lelaki di Temerloh pada Rabu. Foto PDRM
A
A
A

TEMERLOH – Pihak polis berjaya menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel penghubung di jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Temerloh ke Bentong sekitar Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kedua-dua suspek ditahan menerusi operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada Rabu.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 34 dan 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 petang di daerah ini.

"Siasatan awal mendapati suspek pertama merupakan seorang penganggur berusia 34 tahun dari Mentakab, manakala seorang lagi suspek berusia 41 tahun dari Bentong bekerja sendiri.

“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif. Namun semakan mendapati salah seorang mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes narkotik, manakala seorang lagi memiliki lima rekod jenayah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pemotong, beg dan pakaian antara yang dirampas. Foto PDRM
Pemotong, beg dan pakaian antara yang dirampas. Foto PDRM

Mazlan berkata, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya turut merampas sejumlah barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut.

Jelasnya, antara rampasan yang dibuat ialah lima guni berisi kabel tembaga yang telah dipotong dalam pelbagai saiz, satu gulung kabel tembaga, sebuah pemotong kabel jenama AIWO berukuran 600mm dan sebuah mesin pengisar.

Artikel Berkaitan:

Beberapa aksesori lain termasuk gulungan wayar pengecas, dua bateri, sarung tangan kain, beg jenama Adidas dan lampu kepala turut dirampas.

Guni yang turut dirampas oleh pihak polis. Foto PDRM
Guni yang turut dirampas oleh pihak polis. Foto PDRM

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam dua kes di Lanchang, Temerloh dan satu kes di Bentong.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan kepentingan awam dan masyarakat.

Sebelum ini, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) dalam kenyataannya pada Khamis mengecam insiden kecurian kabel penghubung yang berlaku baru-baru ini di jajaran ECRL dari Temerloh ke Bentong.

CCCECRL memaklumkan bahawa kejadian tersebut telah menyebabkan kerosakan serius terhadap infrastruktur rel dan berpotensi menjejaskan jadual penyiapan projek nasional itu.

"Sejak bulan Jun lalu, beberapa siri kecurian komponen rel bernilai tinggi termasuk kabel dan transformer telah dikesan di sepanjang jajaran ECRL.

“Insiden terbaharu menunjukkan trend kecurian yang semakin membimbangkan dan memberi kesan langsung kepada kemajuan projek," jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, dalam tempoh hanya dua minggu, kabel penghubung sepanjang 1,080 meter (m) antara Temerloh dan Lanchang serta 599m antara Lanchang dan Bentong telah dicuri.

Ringkasan AI

  • Polis Temerloh tahan dua lelaki terlibat curi kabel ECRL Temerloh ke Bentong
  • Suspek berusia 34 dan 41 tahun, salah seorang penganggur dan seorang lagi bekerja sendiri
  • Salah seorang suspek mempunyai rekod lampau narkotik, satu lagi mempunyai rekod jenayah
  • Barangan rampasan termasuk guni berisi kabel tembaga, pemotong kabel, mesin pengisar
  • Suspek mengaku libat dalam kecurian di Lanchang, Temerloh dan Bentong, disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!